USAHA SAMA USM - KL LARUT SDN. BHD. PERKUKUH EKOSISTEM PENYELIDIKAN MINERAL NEGARA
NIBONG TEBAL, 9 Julai 2025 - Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM) hari ini memeterai satu perjanjian kerjasama rasmi (collaboration agreement) bersama KL Larut Sdn. Bhd., sekali gus mengukuhkan sinergi antara institusi akademik serta industri dalam pembangunan sumber mineral negara.
Menurut Dekan PPKBSM, Profesor Ts. Dr. Zulkifli Mohamad Ariff, kerjasama ini bukan sekadar dokumen hitam putih, tetapi merupakan lambang keyakinan bersama bahawa dunia akademik dan industri perlu bergerak seiring untuk mendepani cabaran sektor perlombongan serta pembangunan sumber asli negara secara lebih mampan.
“Majlis pada hari ini mencerminkan komitmen dua pihak yang berkongsi aspirasi besar, USM sebagai universiti penyelidikan yang sentiasa mendahulukan ilmu dan inovasi, dan KL Larut sebagai salah satu pemain utama dalam industri perlombongan timah negara yang bersedia berganding bahu membina ekosistem penyelidikan dan pembangunan sumber mineral yang lebih kukuh, responsif serta lestari,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama ini amat bertepatan dengan aspirasi Dasar Mineral Negara Ketiga (DMN3) yang memberi tumpuan kepada penyelidikan berimpak tinggi, pembangunan teknologi tempatan, serta pemeliharaan alam sekitar dalam amalan perlombongan.
“Di PPKBSM, kami amat mengalu-alukan peluang luas yang terbuka melalui kerjasama ini, khususnya untuk pelajar kami,” katanya.
“Ia memberi mereka peluang bukan sahaja mempelajari teori, tetapi juga memahami realiti sebenar bagaimana keputusan kejuruteraan memberi kesan kepada operasi, alam sekitar, dan kehidupan masyarakat,” ujar beliau lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa kolaborasi antara penyelidik akademik dan jurutera lapangan adalah kunci utama untuk menyelesaikan cabaran sebenar industri, dan dengan kepakaran teknikal yang dimiliki KL Larut serta kemudahan penyelidikan USM.
“Kita di USM optimis bahawa kerjasama ini akan menghasilkan output penyelidikan berimpak tinggi yang boleh diterjemahkan terus kepada aplikasi praktikal,” tambah Zulkifli.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KL Larut Sdn. Bhd., Dr. Pathmanathan a/l M. Kumarasamy, dalam ucapannya menegaskan bahawa penandatanganan perjanjian ini bukan sekadar langkah strategik, tetapi juga bukti bahawa kejayaan dalam industri bergantung kepada bagaimana ilmu diaplikasikan dengan susunan nilai yang tepat.
“Kita semua ada pengetahuan, kemahiran dan jika digunakan secara beretika dan berkesan, barulah ia menjadi kuasa sebenar yang memberi impak positif bukan sahaja kepada industri, malah kepada masyarakat secara menyeluruh,” ujar Pathmanathan.
Mengakhiri ucapannya, beliau berharap kerjasama ini menjadi asas kepada rangkaian penyelidikan yang lebih luas, merangsang pembangunan teknologi mineral tempatan dan membuka peluang pembelajaran yang lebih holistik untuk pelajar kejuruteraan di USM.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman