Skip to main content

USM DAN LBRCE PERKUKUH KERJASAMA ANTARABANGSA MELALUI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN

DSC 2746

NIBONG TEBAL, 30 Julai 2025 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa terus mengukuhkan jaringan kerjasama globalnya menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Lakireddy Bali Reddy College of Engineering (LBRCE), India dalam satu majlis rasmi yang diadakan di Kampus Kejuruteraan USM hari ini.

MoU ini merintis kerjasama strategik antara kedua-dua institusi bagi memantapkan kecemerlangan akademik dan penyelidikan melalui pelbagai inisiatif bersama, pertukaran pelajar dan staf, serta penglibatan silang budaya.

Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha menyatakan keyakinan terhadap potensi kerjasama ini dalam menghasilkan impak yang bermakna kepada kedua-dua institusi melalui jalinan akademik dan penyelidikan yang lebih luas.

DSC 2720 DSC 2685

DSC 2698 DSC 2755

Antara inisiatif utama yang digariskan termasuklah pertukaran pelajar dan staf akademik secara timbal balik, pelaksanaan penyelidikan bersama, serta pendedahan antarabangsa khususnya dalam bidang sains dan kejuruteraan.

Usaha ini dijangka memperluaskan horizon akademik, merangsang inovasi, dan menyediakan pelajar menjadi profesional yang kompetitif di peringkat global.

Profesor Mariatti turut menegaskan komitmen USM untuk menjalin kerjasama berasaskan nilai bersama dan saling menghormati, sambil menyifatkan LBRCE sebagai rakan strategik yang sehaluan dalam mengutamakan kecemerlangan akademik, inovasi dan pertumbuhan kolaboratif.

Pengetua LBRCE, Dr. Kandimalla Appa Rao yang mengetuai delegasi dari India menyatakan penghargaan kepada USM atas inisiatif ini, dan menyifatkan MoU ini sebagai platform pembangunan kapasiti, pertukaran ilmu serta kemajuan akademik jangka panjang.

Beliau menambah bahawa kerjasama ini akan membuka peluang kepada pelajar dan pensyarah LBRCE untuk meneroka persekitaran penyelidikan antarabangsa dan menjalankan penyeliaan bersama di peringkat pascasiswazah, di samping menyokong pembangunan kurikulum dan inovasi dalam bidang baharu seperti aeroangkasa, sains data dan kecerdasan buatan.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman