PASUKAN ROBOCON USM DISOROT RTM SELEPAS KEJAYAAN DI ROBOCON MALAYSIA 2025
NIBONG TEBAL, 2 Ogos 2025 - Delegasi daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini mengadakan kunjungan ke Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi menjalankan sesi temu bual dan rakaman bersama pasukan pemenang Pertandingan Robocon Malaysia 2025.
Sesi berkenaan yang bertempat di Makmal Basah dan Galeri Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC), turut dihadiri oleh penasihat pasukan, Ts. Dr. Noramalina Abdullah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE).
Menurut beliau, kejayaan USM meraih tempat ketiga dan keempat serta Anugerah Pasukan Terbaik pada Robocon Malaysia 2025 adalah hasil usaha keras, kreativiti dan semangat juang tinggi semua ahli pasukan.
“Sepanjang hampir setahun persiapan, pelajar kami menggabungkan teori dan praktikal,” kata Noramalina.
“Daripada reka bentuk robot, simulasi strategi, hinggalah pengujian di lapangan, mereka berdepan dengan cabaran kekangan masa, kesilapan teknikal dan penyesuaian strategi, namun tetap cekal berusaha,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak universiti termasuk PPKEE, Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal (PPKM), Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), penaja luar serta tenaga pakar yang memberikan bantuan teknikal dan logistik.
Tambahnya, kejayaan tersebut diharap dapat menjadi pembakar semangat untuk melahirkan lebih ramai pelapis dan memperkukuh sistem teknikal bagi kejohanan akan datang.
“Kami amat mengharapkan sokongan berterusan dari universiti, khususnya dari segi kemudahan tempat, bantuan kewangan dan sokongan moral bagi memastikan pasukan terus bersemangat mencapai kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” ujarnya.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Farid Hamidi Wahab