DYTM RAJA MUDA PERAK BERKENAN BERANGKAT KE KAMPUS KEJURUTERAAN USM
NIBONG TEBAL, 11 Ogos – Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa, hari ini berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.
Keberangkatan tiba Tuanku disambut oleh Pengetua Cemerlang Kolej Desa MurnI, Tuan Haji Adnan Idris; Ketua Penyelaras KTEUSM, Puan Sharifah Che Hassan dan pengurusan tertinggi kampus yang diketuai oleh Pengarah, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, sebelum berkenan melawat Dewan Kuliah di Kompleks Dewan Kuliah serta kawasan Desasiswa.
Lawatan ini turut merangkumi kunjungan ke beberapa fasiliti utama kampus, bersempena keberangkatan Tuanku untuk melawat anakanda baginda yang merupakan salah seorang pelajar perintis Program Pendidikan Tingkatan Enam (KTE) Kampus Universiti di USM.
Pengarah Kampus merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas keberangkatan Tuanku, yang disifatkan sebagai tanda sokongan dan dorongan kepada para pelajar, khususnya kumpulan perintis program tersebut.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman