Skip to main content

MY FIRST ROBOT: BENGKEL ROBOTIK CSR CETUS MINAT PELAJAR DALAM BIDANG STEM

DSC 3286

NIBONG TEBAL, 12 Ogos 2025 - Bengkel Robotik CSR “My First Robot” yang dianjurkan bersama oleh Pasukan Robocon Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) berjaya memperkenalkan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Prai dan Sekolah Kebangsaan Batu Kawan kepada dunia robotik melalui pembelajaran berstruktur dan aktiviti kreatif.

Pengerusi JKSB, Dato’ Haji Abdul Malik Abul Kassim, dalam ucapannya berkata, “My First Robot” merupakan sebahagian daripada inisiatif proaktif syarikat untuk mempromosikan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) di peringkat sekolah.

“Program CSR ini bukan sekadar memenuhi kewajipan statutori, tetapi adalah komitmen kami untuk memberi kembali kepada masyarakat,” katanya.

“Kami percaya dalam melahirkan generasi berkemahiran tinggi yang mampu bersaing di peringkat global, selaras dengan Revolusi Perindustrian Keempat.”

DSC 3264 DSC 3273

DSC 3262 DSC 3286

Beliau menambah bahawa teknologi menjadi teras operasi JKSB yang merangkumi penggunaan CCTV berkuasa AI, sistem pengesanan insiden kenderaan, papan tanda jalan dinamik dan platform pemantauan masa nyata.

“Kemajuan ini telah membawa pengiktirafan antarabangsa kepada JKSB, termasuk anugerah ‘Most Advanced Technology Implemented in Malaysia’ daripada N-WORK bagi operasi lebuh raya,” ujarnya.

Melalui pelaksanaan program ini dan bersempena majlis tersebut, Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) turut menyampaikan tajaan Pakej Diamond bernilai RM20,000 kepada Pasukan Robocon.

Sementara itu, mewakili Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar USM, Dr. Hazrul Abdul Hamid merakamkan penghargaan kepada JKSB selaku penaja utama program tersebut.

DSC 3335 DSC 3351

DSC 3349 DSC 3354

“Kami berharap program ini berjalan lancar dan semua pelajar dapat menikmati aktiviti yang telah disediakan,” katanya.

Bengkel sehari ini dirancang teliti untuk peserta baharu ini membimbing pelajar daripada asas teori sehingga aplikasi praktikal, merangkumi pemasangan mekanikal, pendawaian elektrik, pengaturcaraan dan penyelesaian masalah.

Program ini bertujuan mencapai objektifnya dengan membolehkan pelajar membina robot berfungsi sepenuhnya, menyelesaikan isu interaksi perkakasan-perisian, serta mengembangkan kemahiran menyelesaikan masalah secara kritikal, di samping memupuk keyakinan dan minat mereka terhadap STEM.

Program anjuran bersama Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM ini turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), Dato’ Faisal Shahbudin, Penasihat Pasukan USM Robocon, Ts. Dr. Noramalina Abdullah dan Dr. Abdul Sattar Din, serta Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah Plus (SISC+) untuk TVET di Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah, Mohd Nizaidi Hussin.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik ABdul Rahman