HWS 2025, KECEMERLANGAN UNIVERSITI BERMULA DENGAN WARGA YANG SIHAT DAN BAHAGIA – NC
Nibong Tebal, 16 Ogos 2025 - Kejayaan sesebuah universiti tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik atau penyelidikan semata-mata, sebaliknya bertitik tolak daripada kesejahteraan warganya yang sihat, bahagia dan saling menyokong.
Demikian kenyataan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, dalam ucapannya ketika merasmikan Hari Warga Staf (HWS) 2025 di Kampus Kejuruteraan, pagi ini.
Menurut beliau, sejak mula dianjurkan pada tahun 1999, HWS bukan sekadar acara rekreasi, tetapi lambang pengiktirafan kepada seluruh warga kerja USM yang telah menjadikan universiti itu sebuah komuniti ilmu yang dinamik.
“Hari ini bukan sekadar pertandingan, tetapi hari untuk kita saling mengenali tanpa batas jabatan, bersaing secara sihat dan membina rasa bangga menjadi sebahagian daripada satu ekosistem besar USM,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan tema tahun ini, “Warga Ceria, Gemilang Bersama”, yang menurutnya bertepatan dengan aspirasi USM untuk membudayakan kesejahteraan holistik merangkumi aspek fizikal, mental dan sosial.
“Kita sering bercakap soal penerbitan, penyelidikan dan pengajaran, namun kejayaan hakiki sesebuah institusi bermula daripada kekuatan akar umbinya, iaitu kakitangan yang telah menjadikan USM sebuah komuniti ilmu yang hidup dan dinamik,” jelasnya.
Bercakap mengenai HWS yang menyaksikan persaingan lima kontinjen dari empat kampus berbeza ini, Naib Canselor turut berharap agar pertandingan dan penglibatan sepanjang program ini diraikan dalam semangat kekeluargaan.
“Jadikan HWS sebagai ruang untuk berinteraksi, saling menyokong dan membina jalinan merentas kampus, sama ada dari Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan, IPPT mahupun Kampus Kesihatan,” tambah Beliau.
Edisi kali ini bakal menyaksikan persaingan lima kontinjen yang membawa identiti burung sebagai lambang kekuatan dan kebersamaan iaitu Pipit Hutan (Kampus Kejuruteraan), Merbah Surih (Kampus Induk), Sambar Kuning (Kampus Kesihatan), Pekaka Udang (Hospital Pakar USM) dan Pucung Harimau (Institut Perubatan dan Pergigian Termaju) dalam merebut piala pusingan.
Turut sama hadir adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Habibah A Wahab, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat yang juga Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlan Amran, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha dan barisan Pengurusan Tertinggi Universiti.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman