USM DAN TOKYO ELECTRON (MALAYSIA) SDN. BHD. JALIN KERJASAMA STRATEGIK, BANGUNKAN BAKAT KEJURUTERAAN MASA DEPAN
NIBONG TEBAL, 22 Ogos 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Tokyo Electron (Malaysia) Sdn. Bhd. (TEL Malaysia), anak syarikat kepada gergasi semikonduktor global Tokyo Electron Ltd., telah menjalinkan kerjasama penting bagi memperkukuh kolaborasi industri-akademia serta melahirkan graduan kejuruteraan yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal ini akan menjadi langkah bermakna dalam usaha membangunkan generasi baharu jurutera.
Dalam majlis tersebut, Pengarah Kampus, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, mewakili Naib Canselor USM, menegaskan kepentingan MoU ini dalam merapatkan jurang antara dunia akademik dan industri.
“Kerjasama ini bukan sekadar satu perjanjian, tetapi jambatan yang menghubungkan akademia dan industri, menawarkan peluang pembangunan bakat, pemindahan ilmu serta inovasi,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Tokyo Electron atas sumbangan bernilai RM750,000 berupa Wafer Probe Tester dan RM200,000 bagi tujuan pengubahsuaian makmal.
Beliau turut menyatakan bahawa sumbangan tersebut, jelas akan meningkatkan kemudahan penyelidikan USM dengan ketara, selain memberi peluang kepada pelajar prasiswazah dan pascasiswazah untuk mendapatkan pengalaman pembelajaran secara langsung, selaras dengan piawaian teknologi global.
Menurut Mariatti, kerjasama ini juga menyokong misi USM dalam melahirkan graduan yang relevan dengan keperluan industri, seterusnya memiliki kepakaran teknikal yang mantap dengan kemahiran berfikir secara kritis.
“Ia turut memberi pendedahan kepada staf akademik terhadap teknologi terkini serta menggalakkan inisiatif penyelidikan bersama yang selaras dengan keutamaan semikonduktor di peringkat nasional dan global,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden TSI & TMY Tokyo Electron (Malaysia) Sdn. Bhd., Ito Hideki, turut menzahirkan pandangan yang sama dengan menekankan kepentingan untuk membangunkan saluran bakat berkemahiran tinggi dalam sektor semikonduktor.
“MoU ini mencerminkan komitmen kami untuk memperkasa generasi profesional semikonduktor akan datang,” katanya.
“Seiring dengan kepesatan perkembangan teknologi, permintaan terhadap tenaga kerja mahir dalam pembuatan semikonduktor kelak, akan terus menunjukkan peningkatan,” tambahnya lagi.
Beliau juga menjelaskan bahawa kerjasama ini akan memperkukuh aktiviti penyelidikan, menyokong program pendidikan serta menyediakan latihan penting yang membekalkan pelajar dengan ilmu teori dan pengalaman praktikal.
“Di Tokyo Electron, kami percaya bahawa kolaborasi adalah kunci kemajuan, dan dengan berganding bahu bersama USM, kami bukan sahaja memperkayakan ekosistem pendidikan malah membentuk generasi inovator dan pemimpin baharu dalam bidang pembuatan semikonduktor,” katanya menutup ucapan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Naib Presiden TEL ATS BU merangkap Pengurus Besar Tokyo Electron (Malaysia) Sdn. Bhd., Encik Sato Yohei; Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Profesor Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Sundi @ Suandi; Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Ir. Dr. Zainal Ahmad; Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Profesor Madya Dr. Elmi Abu Bakar; Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Profesor Madya Dr. Abdullah Aziz Saad, dan Dr. Mohamad Danial Shafiq, mewakili Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman