Skip to main content

USM ANJUR ROVISP 2025, PACU INOVASI AI DAN TEKNOLOGI DIGITAL

DSC 9285

BAYAN LEPAS, 2 September 2025 - Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menganjurkan International Conference on Robotics, Vision, Signal Processing, and Power Applications (RoViSP) 2025, sekali gus membuka ruang perbincangan mengenai kecerdasan buatan (AI), litar bersepadu dan inovasi digital.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, berkata penganjuran itu menunjukkan komitmen universiti sebagai sebuah institusi bertaraf global dalam memperkasa ilmu pengetahuan, penyelidikan dan inovasi yang memberi impak nyata kepada masyarakat.

“Sebagai sebuah universiti global, USM sentiasa komited untuk memperkasa ilmu serta memberi kesan bermakna melalui penyelidikan dan inovasi,” kata beliau. 

“Persidangan seperti RoViSP sangat penting kerana ia mempercepatkan penemuan baharu, menggalakkan kerjasama merentas bidang dan menangani cabaran besar yang kita hadapi bersama,” katanya.

DSC 9153 DSC 9167

DSC 9213 DSC 9231

Beliau menambah, tema tahun ini iaitu “Shaping the Future of Industry with AI, Integrated Circuit, and Digital Innovation” adalah selaras dengan agenda negara termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan MyDIGITAL, Rangka Kerja 10-10 MySTIE serta Strategi Nasional Semikonduktor Malaysia.

Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE), Profesor Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Sundi @ Suandi, menegaskan bahawa RoViSP bukan sekadar acara akademik semata-mata, sebaliknya menjadi jambatan antara penyelidikan dan aplikasi. 

“PPKEE sentiasa komited memacu inovasi melalui kolaborasi antara disiplin di mana RoViSP membuktikan semangat itu dengan menghimpunkan pakar dalam pelbagai bidang seperti robotik, sistem penglihatan, pemprosesan isyarat, litar bersepadu dan sistem kuasa,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi RoViSP 2025, Profesor Madya Dr. Teh Jiashen, pula berkata sejak dianjurkan pada 1994, persidangan dwitahunan itu berkembang sebagai platform utama yang menghubungkan akademia, industri dan kerajaan.

DSC 9295 DSC 9330

DSC 9457 DSC 9405

“Tema tahun ini mencerminkan keperluan mendesak untuk memanfaatkan teknologi baharu bagi transformasi masyarakat dan ekonomi,” ujar beliau.

“Dalam tempoh dua hari, peserta akan menyertai syarahan utama, pembentangan kertas teknikal dan sesi interaktif yang meliputi pelbagai bidang termasuk automasi, robotik, pemprosesan imej dan isyarat, telekomunikasi, reka bentuk elektronik, tenaga serta aplikasi industri,” katanya.

RoViSP telah menjadi mercu ilmu dengan menghimpunkan minda terbaik dalam bidang penyelidikan, sains, kejuruteraan, akademia dan industri melalui PPKEE, sebagai platform perkongsian idea, pembinaan rangkaian baharu serta pengembangan sempadan kefahaman manusia.

RoViSP 2025 berjaya mengumpulkan kira-kira 160 peserta dari dalam dan luar negara, termasuk penyelidik terkemuka, jurutera serta pengamal industri, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam bidang teknologi maju dan inovasi.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman