38 DEKAN KEJURUTERAAN IPT BERKUMPUL DI PULAU PINANG SEMPENA MCED KE-91
BAYAN LEPAS, 11 September 2025 – Seramai 38 dekan kejuruteraan dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara berhimpun dalam Program Majlis Jemaah Dekan Kejuruteraan Institusi Pengajian Tinggi (MCED) Kali Ke-91 yang berlangsung di sini hari ini.
Pengerusi MCED, Profesor Dr. Jafri Din yang juga Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, mesyuarat kali ini memberi tumpuan kepada empat agenda utama yang menjadi teras pembangunan akademik kejuruteraan.
“Antara fokus utama yang dibincangkan ialah penambahbaikan program pengajian dan kokurikulum, isu akreditasi, potensi kerjasama antara institusi pengajian tinggi serta usaha memperkasa penyelidikan dan inovasi,” kata beliau.
Menurut Jafri, dengan tema 'Memacu Kecemerlangan Akademik, Akreditasi dan Inovasi dalam Kejuruteraan', program ini menjadi medan penting untuk barisan dekan terlibat berkongsi input serta menyelaras keutamaan secara bersama.
“Walaupun semua sibuk dengan komitmen di fakulti masing-masing, kehadiran dekan-dekan dan wakil hari ini membuktikan komitmen masing-masing dalam MCED ini,” katanya ketika berucap dalam sesi pembukaan program hari ini.
Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Sundi @ Suandi, selaku wakil tuan rumah berbesar hati menjadi hos bagi program MCED kali ini yang menghimpunkan kepimpinan utama bidang kejuruteraan dari seluruh negara.
“Sebagai sebuah universiti penyelidikan, USM sentiasa menyokong usaha kolektif untuk menambah baik kualiti pengajian kejuruteraan kerana kami percaya bahawa kemajuan dalam bidang ini memerlukan kesepaduan ilmu, dasar dan amalan antara institusi,” kata beliau.
Menurut Shahrel, penganjuran MCED memberi peluang untuk kita semua, sama-sama berkongsi amalan terbaik dan cabaran yang dihadapi oleh institusi masing-masing sambil membina sinergi untuk masa depan kejuruteraan negara yang lebih mampan dan berimpak tinggi.
Selain itu, beliau turut berharap agar semua ahli yang hadir berasa selesa dan mendapat manfaat sepenuhnya daripada sesi perbincangan, pertukaran pandangan serta jaringan kolaborasi yang berlaku sepanjang program ini.
“Komitmen bersama seperti inilah yang akan terus memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi kejuruteraan negara,” ujarnya.
Sempena dengan program tersebut, telah diadakan majlis makan malam yang turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa isu-isu penting yang dibincangkan dalam program kali ini adalah kritikal dalam membentuk masa depan pendidikan kejuruteraan negara.
"Perbincangan ini kelak bakal membuka ruang kepada idea baharu, cadangan penambahbaikan serta kerjasama yang lebih erat antara semua pihak," kata beliau.
“Saya percaya inilah kekuatan MCED sebagai sebuah platform yang menyatukan suara dekan kejuruteraan demi kepentingan bersama,” tambah Habibah.
MCED kali ke-91 yang akan berlangsung sehingga esok, 12 September 2025 adalah anjuran bersama antara USM dan UTM.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman