KAMPUS KEJURUTERAAN USM ANJUR MESYUARAT PROGRAM JSPS CORE-TO-CORE, PERKUKUH KERJASAMA PENYELIDIKAN JEPUN-ASEAN
NIBONG TEBAL, 22 September 2025 - Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Program JSPS Core-to-Core yang berlangsung di Pejabat Pengarah Kampus, menghimpunkan seramai 15 pakar penyelidik antarabangsa dari Jepun, Thailand dan Vietnam, bersama tujuh penyelidik dari Kampus Kejuruteraan USM.
Bercakap mengenai program ini, Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha menyatakan penghargaan atas penganjuran mesyuarat tersebut, sambil menekankan kepentingan kerjasama akademik yang merentasi sempadan negara dan disiplin ilmu.
Menurut beliau, program sebegini bukan sahaja dapat memperkukuh jalinan strategik antara USM dan universiti terkemuka dunia seperti Universiti Osaka, malah memberikan manfaat besar kepada pensyarah, penyelidik, serta pelajar.
“Kolaborasi yang berteraskan prinsip Ekonomi Kitaran ini akan memperkayakan komuniti akademik dengan pendedahan kepada kepakaran dan rangkaian antarabangsa, di samping memastikan para pelajar dibimbing oleh ahli akademik dengan pemikiran global,” katanya.
“Usaha ini juga dijangka mengukuh dan menyokong Matlamat Pembangunan Lestari 12 dalam Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, serta Matlamat Pembangunan Lestari 17 iaitu Perkongsian untuk Matlamat, melalui kerjasama penyelidikan antarabangsa yang berimpak tinggi,” tambahnya.
Sementara itu, Profesor Dr. Hiroshi Uyama dari Universiti Osaka dalam ucapan alu-aluannya menekankan matlamat program ini untuk membina platform penyelidikan Jepun-ASEAN dalam bidang kitaran sumber plastik dan bahan berasaskan bio, dengan fokus kepada kitar semula, pengitaran nilai tambah (upcycling) dan biodegradasi.
Beliau turut menjelaskan bahawa inisiatif ini akan memacu pembangunan teknologi maju melalui penyelidikan bersama merentasi pelbagai disiplin, di samping mengukuhkan kerjasama mampan antara akademia, industri dan kerajaan bagi menyokong agenda alam sekitar global.
Uyama turut menekankan keperluan kepada penyelesaian inovatif dalam pengurusan sisa plastik, memandangkan kadar kitar semula yang rendah, pertambahan penggunaan yang pesat, serta kekurangan infrastruktur di rantau ini yang menjadi ancaman serius kepada ekosistem.
“Kolaborasi antara penyelidik Jepun dan ASEAN ini direka bentuk untuk sama-sama membangunkan penyelesaian yang relevan secara tempatan namun boleh disesuaikan di peringkat global, dengan menggabungkan teknologi maju kitar semula, bahan berasaskan bio, dan strategi biodegradasi,” katanya.
Program ini juga menyasarkan penubuhan platform penyelidikan rentas negara yang dapat memperkukuh pertukaran akademik, integrasi kepakaran, serta pembangunan kapasiti bagi melahirkan pemimpin masa depan dalam bidang bahan mampan dan penyelesaian alam sekitar.
Antara institusi lain yang terlibat sama adalah Universiti Hokkaido dan Universiti Tohoku dari Jepun; Universiti Chulalongkorn di Thailand yang diketuai oleh Profesor Dr. Swabun Chirachanchai; Akademi Sains dan Teknologi Vietnam (VAST) yang diketuai oleh Profesor Dr. Tran Dai Lam; serta Universiti Sains Malaysia yang diketuai oleh Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha.
Dibina atas asas kerjasama jangka panjang melalui Inisiatif Kampus ASEAN Universiti Osaka dan program kolaboratif lain, Program JSPS Core-to-Core ini terus memperkukuh hubungan Jepun-ASEAN dalam memajukan penyelidikan dan inovasi mampan.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman