TIGA PASANGAN KEMBAR SERIKAN PENDAFTARAN PELAJAR BAHARU DI USM KAMPUS KEJURUTERAAN
NIBONG TEBAL, 28 September 2025 - Suasana pendaftaran pelajar baharu Sidang Akademik 2025/2026 di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan hari ini diserikan dengan kehadiran tiga pasangan kembar yang turut mendaftar untuk memulakan pengajian masing-masing.
Pasangan kembar seiras, Amer Haqem Shazzly dan Amer Hazem Shazzly, 19, yang merupakan bekas pelajar Kolej Matrikulasi Melaka, masing-masing memilih bidang Kejuruteraan Awam untuk menyambung pengajian ijazah sarjana masing-masing.
Mereka berkongsi bahawa ini merupakan kali pertama keluar dari negeri Melaka untuk menyambung pelajaran sejak di bangku sekolah, manakala dorongan kakak yang berada dalam bidang sama turut mempengaruhi pemilihan jurusan tersebut.
Sementara itu, pasangan kembar tidak seiras, Muhammad Azfar Zulkifli dan Muhammad Faiz Zulkifli, 19, telah memilih bidang Kejuruteraan Mekatronik di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik untuk meneruskan pengajian.
Bekas pelajar Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP) ini menyatakan minat mereka terhadap robotik sejak kecil mendorong pemilihan bidang tersebut dan pemilihan USM dibuat kerana reputasinya sebagai sebuah universiti kejuruteraan terbaik di Malaysia.
Lebih istimewa, ibu mereka, Haslinda Razali, 49, merupakan alumni Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral USM dan turut sama hadir pada sesi pendaftaran anak kembar beliau hari ini.
Satu lagi pasangan kembar ialah Nur Raifa Mohamad Rozi dan Nur Raina Mohamad Rozi (19) pula akan memulakan pengajian masing-masing dalam bidang kejuruteraan kimia.
Selain tiga pasangan kembar tersebut, antara pelajar baharu yang turut mendaftar ialah Aiman Safwan Mohd Mustafa Al Bakri (19), anak kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Profesor Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, yang juga alumni Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral USM.
Aiman Safwan akan mengikuti pengajian di Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik.
Sehingga petang tadi, seramai 792 daripada 919 pelajar yang ditawarkan tempat telah mendaftar.
Dengan kemasukan ini, USM Kampus Kejuruteraan kini menempatkan hampir 5,000 pelajar di enam pusat pengajian kejuruteraan, iaitu Kejuruteraan Aeroangkasa, Awam, Bahan dan Sumber Mineral, Elektrik dan Elektronik, Kimia serta Mekanikal.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman