Skip to main content

PENGARAH KAMPUS SAMPAIKAN AMANAT KEPADA PELAJAR BAHARU DI PROGRAM SISWA LESTARI 2025/2026

DSC 3388

NIBONG TEBAL, 29 September 2025 - Pengarah Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha menyampaikan amanat kepada 792 pelajar baharu sempena Program Siswa Lestari Sidang Akademik 2025/2026 yang berlangsung di sini hari ini.

Dalam ucapan beliau, Pengarah Kampus menegaskan bahawa pemilihan pelajar baharu adalah hasil daripada proses penilaian yang teliti, sekali gus meletakkan mereka dalam kalangan terbaik untuk menyertai keluarga besar USM.

“USM bukan sekadar sebuah institusi pendidikan, tetapi sebuah komuniti yang membimbing, menyokong dan meraikan pencapaian setiap warganya,” kata Pengarah Kampus.

Menurut beliau, di sinilah pelajar akan membina ilmu, jati diri, sahsiah dan rangkaian yang akan menjadi bekalan kepada mereka selepas ini.

DSC 3422 DSC 3394

DSC 3427 DSC 3430

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa empat tahun mendatang menuntut daya tahan, ketabahan mental dan emosi, selain keberanian untuk berinovasi dalam dunia kejuruteraan yang penuh cabaran.

Beliau turut menyatakan bahawa bidang kejuruteraan bukanlah mudah di mana pelajar akan diuji bukan sahaja dari segi intelek, tetapi juga ketahanan diri dan ialah yang akan membentuk mereka untuk menjadi jurutera yang berwibawa, dihormati dan mampu memberi impak kepada masyarakat kelak.

Selain itu, Pengarah Kampus turut mengingatkan pelajar agar menghargai sokongan keluarga, khususnya ibu bapa, yang menjadi tonggak kepada kejayaan mereka selama ini.

DSC 3427 DSC 3450

DSC 3457 DSC 3523

Beliau turut mengingatkan pelajar supaya tidak takut untuk gagal kerana kegagalan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran.

“Yang penting ialah kemampuan untuk bangkit dan terus berusaha dengan menjadikan impian ibu bapa sebagai sumber kekuatan. Setiap kejayaan pula merupakan hadiah paling bermakna buat mereka,” katanya.

Program Siswa Lestari merupakan acara tahunan yang diadakan bersempena dengan pendaftaran pelajar baharu, dan pendaftaran Sidang Akademik 2025/2026 telah berlangsung pada 28 September baru-baru ini.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman