Skip to main content

PASUKAN HYDROLINK USM TEMPAH TIKET KE PERTANDINGAN AKHIR ASIA PASIFIK GEO

574553012 1387223676740878 3183919227126390136 n

PETALING JAYA, 29 Oktober 2025 - Pasukan Hydrolink dari Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan melakar kejayaan membanggakan apabila berjaya menempah tiket ke peringkat akhir Asia Pasifik (Asia Pacific Geo Finale) bagi AAKRUTI Innovation Competition 2025.

Daripada lima pasukan terbaik peringkat kebangsaan, tiga pasukan daripada USM berjaya menduduki senarai Top 5 negara, sekali gus menonjolkan kehebatan dan kepelbagaian bakat kejuruteraan universiti tersebut.

Pada pertandingan yang dianjurkan oleh SolidWorks 3DEXPERIENCE di IME Technology Sdn. Bhd. ini, pasukan Hydrolink muncul antara dua pasukan terbaik di Malaysia dan akan mewakili negara ke peringkat Asia Pasifik pada November 2025.

Dianggotai oleh Kang Zhen Lin, Alif Danial Zulkipli, Siew Wei Hong dan Darren Tong Kai Xuan, pasukan Hydrolink berjaya memikat perhatian juri dengan inovasi mereka bertajuk “AQUASHIELD”, iaitu sistem mitigasi banjir yang inovatif dan praktikal.

Kang Zhen Lin, mewakili pasukan Hydrolink, berkata produk tersebut direka bentuk secara modular dan boleh digunakan semula, dengan rangka keluli tahan karat boleh lipat, mekanisme kunci pantas serta gasket bergetah bagi memastikan pemasangan yang mudah dan kedap air.

571801562 1387223773407535 2611801206733362434 n 574553012 1387223676740878 3183919227126390136 n

571775602 1387223546740891 2613127646522948916 n 574553012 1387223676740878 3183919227126390136 n

“Keunikan rekaan ini membolehkan sistem AQUASHIELD dipasang oleh hanya dua hingga tiga orang dalam tempoh kurang lima minit tanpa memerlukan sebarang peralatan tambahan, satu kelebihan besar dalam menghadapi situasi kecemasan banjir,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Profesor Madya Dr. Mohd Salman Abu Mansor dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal USM atas bimbingan dan tunjuk ajar yang diberikan sepanjang proses pembangunan dan pengujian prototaip.

“Beliau banyak membantu kami mengatasi pelbagai cabaran teknikal sehinggalah kejayaan ini dapat dicapai,” tambahnya.

Menurut pasukan Hydrolink, kejayaan yang diraih ini membuktikan komitmen dan semangat juang tinggi mereka dalam menghasilkan penyelesaian kejuruteraan yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat.

Kang Zhen Lin turut menyatakan bahawa kemenangan ini adalah hasil kerja keras dan dedikasi ahli pasukan sepanjang proses pembangunan AQUASHIELD.

“Kami berharap inovasi ini dapat dimanfaatkan secara meluas dan memberi kesan positif terhadap pengurusan bencana banjir di masa hadapan,” kata beliau lagi.

Dengan kejayaan ini, pasukan Hydrolink kini bersiap sedia menghadapi cabaran di peringkat Asia Pacific Geo Finale yang dijadual berlangsung pada awal November 2025, dan sekiranya berjaya, mereka akan melangkah ke Grand Finale di Amerika Syarikat pada Februari 2026.

Selain pasukan Hydrolink, dua lagi pasukan dari USM turut berada dalam kelompok lima terbaik peringkat kebangsaan, iaitu pasukan Mechdonalds dan Rekasari Apex.

Pasukan Mechdonalds tampil dengan projek “BelSar”, sebuah kapal udara hibrid-elektrik untuk pengangkutan kargo jarak sederhana secara mampan, manakala pasukan Rekasari Apex memperkenalkan inovasi “Highway Wind-Powered Streetlight (HWPS) System”, iaitu sistem pencahayaan jalan raya yang menjana tenaga hijau melalui penggunaan tenaga angin daripada pergerakan kenderaan yang melaluinya.

Teks: Alif Danial Zulkipli / Foto: Imej pasukan Hydrolink

Suntingan: Profesor Madya Dr. Mohd Salman Abu Mansor & Siti Faizah Abd Halim