KELAB ROBOTIK USM KAMPUS KEJURUTERAAN RAIH KEJAYAAN BESAR DI UROCK 2025

PUTRAJAYA, 7 November 2025 - Pasukan Kelab Robotik Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih sembilan anugerah dengan nilai keseluruhan RM9,450 dalam pertandingan robotik berprestij, University Robot Competition “Kingdom of Champions” (UROCK 2025) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dari 5 hingga 7 November baru-baru ini.
Penyertaan USM kali ini melibatkan dua kategori utama iaitu Legged Robot Challenge dan Rope Climbing Challenge di mana dalam saingan tersebut, USM berjaya merangkul Johan dan Naib Johan bagi Legged Robot Race Challenge, serta Johan dan tempat ketiga bagi Rope Climbing Robot Challenge.
Selain itu, pasukan USM turut memenangi tempat kedua, keempat dan kelima bagi kategori Poster Legged Robot Race Challenge, serta tempat pertama dan keempat bagi Poster Rope Climbing Robot Challenge, sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan sembilan anugerah berjaya dibawa pulang ke Kampus Kejuruteraan.
Penasihat Kelab Robotik USM, Dr. Wan Amir Fuad Wajdi Othman berkata, kejayaan itu adalah hasil gabungan usaha gigih, kreativiti dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh semua peserta sepanjang tempoh persediaan dan pertandingan.
“Pencapaian ini bukan sahaja mengharumkan nama kelab, malah membawa kebanggaan besar kepada USM. Ia juga menjadi bukti kemampuan pelajar kita bersaing di peringkat kebangsaan dalam bidang robotik dan teknologi,” katanya.


Beliau turut menyatakan bahawa UROCK 2025 merupakan platform terbaik untuk menyerlahkan bakat serta inovasi mahasiswa kejuruteraan, di samping memperkukuh kedudukan USM sebagai antara institusi peneraju dalam bidang teknologi dan robotik negara.
“Kejayaan ini bukan sahaja menonjolkan kemampuan teknikal dan kreativiti pelajar, malah mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memperkukuh pendidikan serta penyelidikan berasaskan inovasi dan kejuruteraan,” tambah beliau.
Pasukan USM terdiri daripada pelajar Tahun 2, Tahun 3 dan Tahun Akhir dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik, Elektrik, Elektronik, Pembuatan dan Mekanikal, di bawah bimbingan Dr. Nor Rizuan dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dan Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Azmi dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik.
Pasukan UROCK turut merakamkan penghargaan kepada Makers@USM dan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA USM) atas tajaan, sokongan logistik dan bantuan pelbagai aspek yang memungkinkan penyertaan ini direalisasikan dengan jayanya.
UROCK 2025 merupakan antara pertandingan robotik paling berprestij di Malaysia, anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Antara universiti lain yang turut serta ialah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Putra Malaysia (UPM), German-Malaysian Institute (GMI), politeknik serta beberapa institusi pengajian tinggi lain.
Teks: Sam Yu Jie/Foto: Ihsan Kelab Robotik USM