USM GEMILANG DALAM PENYELIDIKAN: RAIH EMPAT ANUGERAH SCOPUS 2025
PUTRAJAYA, 6 November 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus menonjol dan memperkukuh reputasinya apabila meraih empat anugerah berprestij Malaysia Scopus Research Star Award (MRSA) 2025, yang berlangsung di The Everly Hotel, Putrajaya.

Kejayaan ini menunjukkan USM sebagai pemangkin penyelidikan berwawasan tinggi yang sentiasa melepasi batas ilmu demi memacu inovasi berimpak serta menyumbang secara signifikan kepada masyarakat dan pembangunan negara.

Majlis berprestij tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, yang menegaskan bahawa kejayaan ini adalah hasil kolaborasi strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan syarikat penerbitan antarabangsa Elsevier, dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan melalui pengiktirafan terhadap jurnal dan indeks berimpak tinggi.
“Kerjasama seperti ini jelas meningkatkan penarafan serta sitasi penyelidikan negara, selain memperlihatkan kesungguhan Malaysia membina budaya ilmu yang berteraskan integriti, keterangkuman dan impak kepada masyarakat sejagat,” tegas beliau.
Anugerah Scopus Research Star ini dianjurkan khusus bagi mengiktiraf sumbangan signifikan para penyelidik tempatan di institusi pengajian tinggi (IPT) yang menghasilkan penerbitan ilmiah berkualiti tinggi serta memberi impak besar kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara. Inisiatif ini turut mengangkat kedudukan Malaysia sebagai hab ilmu serantau yang disegani.

Pencapaian cemerlang USM ini dizahirkan melalui kejayaan Prof. Madya Dr. Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik yang menerima Anugerah Kecemerlangan Inovasi dalam Pendidikan bagi Kategori Seni Kemanusiaan dan Sains Sosial (AHSS).

Turut diraikan ialah Prof. Madya Dr. Paramjit Singh Jamir Singh dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, penerima Anugerah Perintis Cemerlang (Kategori AHSS) atas sumbangan berterusan beliau dalam memperkasa penyelidikan sosial di peringkat nasional dan antarabangsa.
USM turut menonjol dalam bidang penerbitan jurnal apabila berjaya meraih dua Anugerah Journal Creme Scopus, masing-masing melalui Journal of Physical Science (Kategori Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Perubatan) di bawah pimpinan Prof. Dr. Abdul Latif Ahmad dan Asia Pacific Journal of Educators and Education (Kategori AHSS) yang diketuai oleh Prof. Dr. Muhammad Kamarul Kabilan.


Pengiktirafan ini sekali lagi mengukuhkan kedudukan USM sebagai peneraju penyelidikan berimpak tinggi, yang menyeimbangkan sains, teknologi dan kemanusiaan untuk memacu inovasi bernilai tinggi, sejajar dengan aspirasi pembangunan negara dan sumbangan kepada kemajuan global.
Teks: Norliza Farhah Abdul Radzak & Shafinaz Md Ismail/Suntingan: Prof. Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Perunding Editorial Kanan @ MPRC/Foto: Mohd Fairus Md Isa & Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq