USM HYDROLINK DALAM TIGA TERBAIK ASIA PASIFIK SELATAN, SEDIA BERAKSI DI AMERIKA SYARIKAT

NIBONG TEBAL, 11 November 2025 - Pasukan USM Hydrolink dari Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi mengharumkan nama universiti apabila terus menunjukkan keunggulan dalam bidang inovasi kejuruteraan di peringkat antarabangsa.
Pasukan tersebut berjaya menempatkan diri dalam tiga pasukan terbaik di AAKRUTI Innovation Competition 2025, Asia Pacific South (AP SOUTH) Geo Finale yang diadakan secara dalam talian pada Ahad, 9 November baru-baru ini.
Kejayaan ini melayakkan USM Hydrolink untuk mewakili Malaysia ke peringkat akhir antarabangsa (International Finale) yang bakal berlangsung secara bersemuka di Houston, Texas, Amerika Syarikat, dari 1 hingga 4 Februari 2026 akan datang.
Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, sebaik saja menerima makluman akan keputusan tersebut telah merakamkan ucapan penghargaan kepada pasukan USM Hydrolink atas kejayaan cemerlang mereka.
“Tahniah pasukan USM Hydrolink kerana berjaya menempatkan diri dalam Top 3 di AAKRUTI Innovation Competition 2025 AP SOUTH Geo Finale, dan seterusnya layak mewakili Malaysia ke peringkat Antarabangsa!” ujarnya.
Sementara itu, Profesor Madya Dr. Mohd Salman Abu Mansor dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, yang juga penasihat pasukan, bersyukur pasukan di bawah bimbingan beliau telah berjaya meraih tiga teratas kali ini.
Menurut beliau, pencapaian ini merupakan hasil usaha gigih, dedikasi, dan kerjasama mantap seluruh ahli pasukan.
“Kini, mereka sedang bersiap sedia untuk menghadapi cabaran seterusnya di peringkat International Finale yang akan berlangsung secara bersemuka di Houston, Texas, US pada awal Februari 2026,” kata beliau.
“Semoga pasukan USM Hydrolink akan mampu mencipta kejayaan gemilang di sana, sekaligus mengharumkan nama PPKM dan USM di persada dunia melalui pertandingan 3DEXPERIENCE WORLD,” tambahnya.
Beliau turut berharap agar perjalanan pasukan USM Hydrolink dalam pertandingan di peringkat antarabangsa dapat disokong oleh semua pihak, demi mencapai prestasi cemerlang yang seterusnya menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.
Pertandingan inovasi berprestij ini dianjurkan oleh SolidWorks 3DEXPERIENCE melalui IME Technology Sdn. Bhd., yang menghimpunkan pasukan terbaik rantau Asia Pasifik dalam bidang kejuruteraan dan reka bentuk inovatif.
Mewakili Asia Pasifik Selatan, pasukan USM Hydrolink akan turut disertai dua pasukan terbaik lain, masing-masing dari Singapore Institute of Technology dan Politeknik Caltex Riau, Indonesia.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Ihsan Profesor Madya Dr. Mohd Salman Abu Mansor