Skip to main content

PPK AEROANGKASA ANJUR PROGRAM AEROSTEAM 2025 LIBATKAN 16 SEKOLAH DAERAH SEBERANG PERAI SELATAN

DSC 8165

NIBONG TEBAL, 19 November 2025 - Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa (PPK Aeroangkasa), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama EXCO Sains dan Teknologi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Selatan dan USM RC Plane Club hari ini, telah menganjurkan Program AEROSTEAM 2025.

Program ini melibatkan penyertaan 16 buah sekolah daripada daerah Seberang Perai Selatan membabitkan pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga sebagai usaha memperkukuh minat generasi muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM).

DSC 8139 DSC 8165

DSC 8174 DSC 8108

 

Menurut Pegawai Latihan Vokasional PPK Aeroangkasa, Mohamad Zihad Mahmud, AEROSTEAM 2025 merupakan kesinambungan pendidikan aeroangkasa yang digerakkan oleh mahasiswa USM melalui Kelab RC sejak tahun 2023 yang seterusnya dibangunkan sebagai platform pendedahan awal kepada pelajar secara praktikal serta interaktif.

“Kejayaan projek perintis AEROSTEAM 2024 serta dapatan kajian daripada USM Internal Paper Wing Competition 2023 ini telah membuktikan keberkesanan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dalam meningkatkan motivasi pelajar dan pemahaman konsep asas aeroangkasa,” ujar Zihad.

“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar memahami prinsip penerbangan, tetapi juga menyokong usaha meningkatkan kehadiran murid ke sekolah, menarik minat ke arah aliran STEM dan mengurangkan risiko keciciran pendidikan melalui aktiviti yang mencerminkan suasana dunia sebenar universiti,” katanya.

DSC 8279 DSC 8281

DSC 8284 WhatsApp Image 2025 11 19 at 17.58.12

AEROSTEAM 2025 menampilkan empat pertandingan utama iaitu Jarak Jauh, Masa Penerbangan, Ketepatan Pendaratan serta kategori baharu iaitu Kreatif, yang dirangka bagi memberi pengalaman pembelajaran hands-on yang menyeronokkan dan bermakna kepada para peserta.

Menurut Zihad, program ini dirancang sebagai fasa kedua sebelum diperluaskan ke peringkat negeri pada masa akan datang, sejajar dengan aspirasi memperkukuh ekosistem pendidikan STEAM dan memperkenalkan teknologi aeroangkasa kepada pelajar di peringkat awal.

“AEROSTEAM 2025 direalisasikan hasil sokongan semua penaja terlibat manakala komitmen ini membuktikan peranan pelbagai pihak dalam memastikan lebih ramai pelajar mendapat akses kepada pendidikan berkualiti,” katanya lagi.

Tambah beliau, program ini dijangka menjadi platform penting dalam melahirkan pelajar yang lebih bersedia menghadapi cabaran masa hadapan, sekali gus memperkukuh minat terhadap bidang aeroangkasa dan teknologi.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman