PPKK USM JAYAKAN LESTARI FUN RUN 2025, TARIK 257 PESERTA

NIBONG TEBAL, 22 November 2025 - Seramai 257 peserta, terdiri daripada 217 dewasa dan 40 kanak-kanak, memeriahkan USM Lestari Fun Run 2025 anjuran Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia (PPKK), Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung di sini hari ini.
Program yang memasuki edisi kedua itu menampilkan dua kategori utama iaitu Larian 5km dan Kid’s Dash 1km, dengan penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat merangkumi kategori dewasa, pelajar sekolah serta kanak-kanak.


Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Ir. Dr. Zainal Ahmad, berkata penganjuran kali ini merupakan sebahagian daripada pra-sambutan ulang tahun ke-25 Kampus Kejuruteraan @ Nibong Tebal yang bakal diraikan pada tahun 2026.
Beliau menyatakan bahawa penganjuran Fun Run Lestari bukan sekadar acara riadah, sebaliknya menjadi platform penting untuk menyatukan warga kampus dan komuniti setempat dalam menjayakan agenda kelestarian.
“Malah, program ini turut menggalakkan penglibatan aktif masyarakat dalam usaha memelihara alam sekitar melalui pendekatan santai dan sihat,” katanya.


Menurutnya, tahun ini USM turut meraikan pencapaian membanggakan sebagai universiti terbaik di Malaysia dan Asia Tenggara, selain berada dalam kelompok teratas di Asia dalam THE Impact Rankings 2024.
“Kejayaan tersebut membuktikan komitmen universiti terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) yang menjadi teras kepada pelbagai inisiatif lestari di kampus,” ujarnya.


Tambah beliau, dengan tema “Run for a Greener Future”, program ini bertujuan memupuk kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar serta menggalakkan gaya hidup sihat selaras dengan dasar USMFIT.
“Kami berharap program ini bukan sahaja dapat mengukuhkan hubungan antara USM dan komuniti sekitar Pulau Pinang, Perak, dan Kedah melalui penglibatan aktif dalam aktiviti sihat dan berimpak sosial,” tambahnya.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Muhammad Taufik Abdul Rahman