USM, GOLDEN FUNGI METERAI MOU PERKUKUH PENYELIDIKAN DAN INOVASI CENDAWAN

NIBONG TEBAL, 24 November 2025 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Golden Fungi Sdn. Bhd. bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang penyelidikan, pembangunan teknologi serta latihan berkaitan industri penanaman cendawan.
Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Ir. Dr. Zainal Ahmad, mewakili USM, manakala Pengarah Urusan Golden Fungi Sdn. Bhd., Jacky Yip, menandatangani bagi pihak syarikat.
Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, dalam ucapan alu-aluan berkata kerjasama strategik bersama industri merupakan antara keutamaan USM dalam memastikan penyelidikan kekal relevan dan mampu memenuhi keperluan semasa negara.


“Dengan kekuatan fasiliti penyelidikan, kepakaran pelbagai disiplin dan jaringan industri yang sedia ada, USM terus memperkukuh hubungan dengan sektor industri bagi mengembangkan pengetahuan serta menghasilkan penyelidikan yang berimpak tinggi,” katanya.
Beliau berkata, penglibatan Golden Fungi Sdn. Bhd., sebuah syarikat aktif dalam penanaman cendawan berskala besar, memberikan nilai tambah penting dalam menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan industri pertanian dan agroteknologi.
Sementara itu, Jacky Yip dalam ucapannya menyatakan bahawa permintaan terhadap cendawan berkhasiat dan ditanam secara mampan terus meningkat di peringkat nasional dan serantau, sekali gus membuka ruang besar kepada inovasi dan penyelidikan.
“Pertanian masa depan tidak hanya bergantung pada pengeluaran semata-mata, tetapi turut bergantung pada inovasi, kecemerlangan penyelidikan dan kerjasama kukuh antara industri dan universiti,” katanya.
Menurut beliau, Golden Fungi akan membekalkan benih cendawan tiram berkualiti tinggi bagi menyokong penyelidikan USM, memandangkan ketulenan genetik dan kesihatan benih memainkan peranan penting dalam menentukan hasil dan prestasi pengeluaran cendawan.


Katanya, kepakaran USM dalam bioteknologi dan sains pertanian, apabila digabungkan dengan pengalaman praktikal syarikat, akan membuka peluang penemuan baharu yang dapat memajukan industri cendawan negara.
“Kerjasama ini juga diharap dapat membuka peluang latihan pelajar, penyelidikan bersama serta meningkatkan minat generasi muda untuk meneroka bidang pertanian moden,” ujarnya.
Dalam pada itu, Profesor Ir. Dr. Zainal berkata, MoU berkenaan memberi tumpuan kepada enam bidang utama kerjasama, merangkumi penyelidikan dan pembangunan bersama produk makanan berasaskan cendawan, penganjuran bengkel dan latihan, lawatan pembelajaran, peluang latihan industri, program pembangunan komuniti, dan kerjasama akademik lain yang dipersetujui bersama dari semasa ke semasa.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman