Skip to main content

PPK AWAM ANJUR PROGRAM MISSION STEMPOSSIBLE 2025 BERSAMA 131 MURID TAHUN 6 SK JAWI

DSC 0929NIBONG TEBAL, 25 November 2025 - Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPK Awam), Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Jawi (SK Jawi) telah berjaya melaksanakan Program Mission STEMpossible 2025.

Program ini merupakan sebuah inisiatif yang memberi pendedahan awal kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui aktiviti interaktif dan pembelajaran berasaskan pengalaman.

Seramai 133 murid Tahun 6 SK Jawi terlibat dalam program ini, melibatkan pelbagai aktiviti seperti pembinaan jambatan, pengenalan asas Canva, serta lawatan ilmiah ke makmal dan fasiliti Kejuruteraan Awam USM.

Disempurnakan oleh Pensyarah Kanan PPK Awam, Profesor Ir. Dr. Mohd Ashraf Mohamad Ismail, keseluruhan program dikendalikan dengan sokongan 22 fasilitator mahasiswa USM.

Pengarah Program Mission STEMpossible 2025, Mardhia Mustakim, berkata bahawa program ini memberi peluang kepada murid untuk melihat sendiri bagaimana konsep STEM diaplikasikan dalam dunia sebenar.

DSC 0942 DSC 1088

“Melalui aktiviti seperti pembinaan jambatan, murid bukan sahaja mempelajari konsep asas kejuruteraan, tetapi juga kemahiran kerjasama dan penyelesaian masalah manakala sesi pengenalan Canva membuka ruang kepada mereka untuk meneroka kreativiti digital, yang semakin penting dalam era pendidikan masa kini,” kata Mardhia.

Sementara itu, Guru SK Jawi, Subathra Devi A/P Ramakrishnan, turut menyatakan bahawa program ini telah memberi kesan positif kepada pelajar.

“Program Mission STEMpossible ini mencapai kejayaan yang memberansangkan dan murid amat menikmati semua aktiviti yang dijalankan,” kata beliau.

Tambah Subathra, murid-murid yang terlibat pulang dengan pengalaman baharu, motivasi yang lebih tinggi, serta minat yang semakin mendalam terhadap STEM.

Sementara itu, Majlis Perwakilan Pelajar Kampus Kejuruteraan, Muhammad Nuraiman Mohd Yusrino menyatakan sokongan penuh beliau akan program yang dianjurkan bersama sekolah ini sambil berharap agar ianya dapat diteruskan lagi di masa akan datang.

Menurut beliau Mission STEMpossible 2025 bukan sahaja memperkukuh hubungan antara USM dan komuniti sekolah, tetapi turut menyumbang kepada usaha memperluaskan pendidikan STEM di peringkat akar umbi.

 DSC 0776 DSC 0737

“Ianya adalah selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan generasi yang berpengetahuan, kreatif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” tambah Aiman.

Mission STEMpossible 2025 dijalankan dalam tiga siri utama, bermula pada 10 November, sebelum diteruskan dengan sesi kedua pada 17 November, dan disusuli majlis perasmiannya pada 20 November 2025 lalu.

Teks: Ihsan Aqmar Nurhafiz Muhamad Hairudin (Timbalan Pengarah Projek STEMpossible) / Foto: Ihsan Ahli Jawatankuasa STEMpossible