USM–KSSB METERAI MOA, PERKUKUH KERJASAMA PEMBANGUNAN BAKAT DAN PENYELIDIKAN MINERAL

NIBONG TEBAL, 24 November 2025 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan & Sumber Mineral (PPKBSM) hari ini telah memeterai Memorandum of Perjanjian (MoA) bersama Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB), bagi mengukuhkan kerjasama strategik dalam pembangunan bakat serta penyelidikan industri mineral negara.
MoA tersebut memberi tumpuan kepada pelaksanaan latihan industri, penganjuran Student Mineral Camp, pertukaran staf dan pelajar, program penyelidikan dan pembangunan (R&D), penganjuran bengkel, serta perkongsian data dan bahan teknikal antara kedua-dua pihak.
Kerjasama USM dan KSSB, sebuah syarikat terkemuka dalam sektor perlombongan dan pengkuarian di Selangor ini dijangka dapat memperkasa ekosistem pendidikan, inovasi dan pembangunan modal insan dalam bidang kejuruteraan bahan serta sumber mineral.
Dekan PPKBSM, Profesor Ts. Dr. Zulkifli Mohamad Ariff dalam ucapannya berkata, kerjasama USM–KSSB merupakan komitmen bersama untuk memperkukuh sektor mineral melalui pendidikan, penyelidikan dan pendedahan lapangan.

Menurut beliau, sinergi kepakaran akademik USM dan kekuatan industri KSSB bakal melahirkan graduan berpengetahuan tinggi, kompeten serta bersedia menghadapi keperluan sebenar industri.
“Akses kepada operasi lapangan, teknologi semasa dan amalan keselamatan industri pula akan memberikan nilai tambah besar kepada pelajar serta penyelidik USM dalam membina kemahiran profesional,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Eksekutif KSSB, Mohd Bazli Kamin menyatakan penghargaan atas peluang untuk bekerjasama dengan sebuah universiti penyelidikan unggul seperti USM.
Beliau berkata, KSSB komited menyediakan sokongan teknikal, data industri dan pendedahan operasi bagi membantu membangunkan tenaga kerja masa hadapan yang lebih berdaya saing.

“Gabungan kekuatan kedua-dua institusi ini akan memperkukuh inovasi teknologi mineral, meningkatkan keberkesanan pengurusan sumber dan membuka peluang kepada projek penyelidikan berimpak tinggi,” ujar Mohd Bazli.
Kedua-dua belah pihak juga yakin bahawa kerjasama ini akan menjadi pemangkin kepada perkembangan sektor sumber mineral negara pada masa hadapan, seterusnya menyumbang kepada pembangunan mampan dan daya saing industri mineral Malaysia.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman