Skip to main content

USM KAMPUS KEJURUTERAAN TERUS UNGGUL SEBAGAI PENGANJUR NIARC 2025, PERKUKUH PERANAN DALAM PENDIDIKAN STEM

dsdqiubdia

Nibong Tebal, 6 Disember 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan sekali lagi membuktikan komitmennya dalam memperkukuh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) apabila berjaya menganjurkan NI Autonomous Robotics Competition (NIARC) 2025 buat kali kelapan berturut-turut.

Pertandingan berprestij ini menjadi platform utama bagi pelajar universiti tempatan mengasah kemahiran inovasi dan teknologi selari dengan keperluan industri sebenar serta teknologi Industri 4.0.

Majlis penutup disempurnakan oleh Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, mewakili Naib Canselor USM, yang dalam ucapannya menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama erat antara USM dan NI yang telah memasuki tahun kelapan sejak NIARC dianjurkan di kampus tersebut.

 “USM dan NI berkongsi visi untuk memperkukuh keupayaan pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) manakala NIARC menyediakan platform terbaik untuk pelajar meneroka pengalaman pembelajaran inovatif yang selari dengan keperluan industri sebenar serta teknologi Industri 4.0,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa penganjuran seperti NIARC memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan berketerampilan, kreatif dan bersedia menghadapi keperluan tenaga kerja global melalui pendedahan langsung kepada pakar industri.

“Selain daripada itu, pelajar turut berpeluang untuk memahami amalan terbaik dan membangunkan kemahiran praktikal yang diperlukan untuk meningkatkan daya saing negara,” ujarnya.

IMG 20251206 082643 IMG 20251206 101615

IMG 20251206 101634 1 IMG 20251206 101649 1

Tahun ini, NIARC menerima penyertaan 16 pasukan melibatkan 85 pelajar dan penyelia projek dari pelbagai universiti termasuk Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) dan Penang Skills Development Centre (PSDC).

Mengambil masa enam bulan dalam membangunkan projek masing-masing, peserta ditugaskan mereka bentuk robot autonomi berdasarkan tema “Robots in Modern Agriculture: Urban Agro Arena”, yang berfokus kepada penyelesaian robotik masa depan bagi pertanian bandar dan amalan agrikultur mampan.

Sementara itu, Naib Presiden APAC Manufacturing & Managing Director NI Malaysia, Selvam Chinappan, dalam ucapannya menyifatkan penyertaan NIARC 2025 sebagai luar biasa di mana bakat semangat para jurutera muda sentiasa menjadi inspirasi kepada syarikat tersebut.

“Inovasi, kerjasama dan kemahiran menyelesaikan masalah yang ditunjukkan para peserta amat membanggakan,” kata beliau.

“Pengalaman seperti ini iaitu daripada mereka bentuk, mengekod, menguji kepada menyelesaikan masalah di bawah tekanan adalah satu nilai yang tidak dapat diperolehi daripada buku teks,” katanya sambil menghargai sokongan berterusan semua universiti yang terlibat.

picture4 picture5

picture7 picture 2

Ucapan turut disampaikan oleh Ketua Program STEM NI, Jia Sheen Tan, yang memuji komitmen semua pasukan setelah melihat sendiri bagaimana robot daripada lapan universiti berkembang dengan ketara sepanjang hari.

Menurut beliau, keupayaan peserta menstabilkan sistem, mengatasi isu sambungan, membaiki struktur mekanikal dan menyesuaikan strategi secara serta-merta menunjukkan semangat kejuruteraan sebenar.

“Kreativiti, disiplin dan pemikiran ke hadapan yang dipamerkan para peserta mencerminkan potensi besar generasi jurutera masa depan,” tegas Jia.

Melalui pertandingan peringkat akhir menyaksikan hanya dua pasukan terbaik mara ke Championship Round, setelah melalui program latihan intensif selama enam bulan menggunakan perkakasan dan perisian industri sebenar yang disediakan oleh NI.

Selepas melalui pusingan akhir yang mencabar, Pasukan AIROST 1 dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) muncul juara NIARC 2025 dan membawa pulang hadiah RM5,000, diikuti AIROST 2 sebagai naib johan dengan RM3,000.

Tempat ketiga disandang oleh pasukan Roboteam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menerima RM1,000. Selain itu, AIROST 1 turut meraih Anugerah NI Creativity and Innovation.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Sarif Mhd. Rapiai