Skip to main content

FESTIVAL GEGAQ 2025 BUKTI KAMPUS KEJURUTERAAN MAMPU ANJUR PROGRAM BERSKALA BESAR

Sofazr 6 1

NIBONG TEBAL, 7 Disember 2025 - Festival Gegaq 2025 melabuhkan tirainya hari ini di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) selepas tiga hari penganjuran yang meriah dengan pelbagai aktiviti seni, budaya dan komuniti.

Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha yang mewakili Naib Canselor USM dalam majlis penutup berkata, kejayaan festival tersebut merupakan hasil komitmen, kerjasama dan dedikasi semua pihak sejak peringkat perancangan sehingga pelaksanaannya.

Menurut beliau, Festival Gegaq 2025 bukan sekadar acara hiburan, sebaliknya menjadi platform yang menyatukan bakat, budaya dan komuniti dari tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Perak dan Kedah.

“Festival ini membuktikan bahawa apabila mahasiswa, industri dan masyarakat berganding bahu, sesuatu yang hebat dan berimpak besar dapat diwujudkan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa program berskala besar seperti ini jarang dianjurkan di Kampus Kejuruteraan kerana kebiasaannya dilaksanakan di Kampus Induk, namun, kerjasama HOTLINK Uni Legend selaku penaja utama telah membuka ruang untuk merealisasikan penganjuran festival di Nibong Tebal.

IMG 1281 IMG 0094

IMG 0833  MG 0823

594167233 1351634476761176 3802703895089812780 n Sofazr 6

Profesor Mariatti menambah bahawa penganjuran Festival Gegaq 2025 turut bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-25 Kampus Kejuruteraan pada tahun hadapan, sekali gus menjadi simbol solidariti mahasiswa, komuniti dan rakan industri dalam memperkukuh identiti kampus sebagai pusat kecemerlangan pendidikan kejuruteraan.

Sementara itu, Pengarah Program Festival Gegaq 2025, Shakeer Shaik Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada HOTLINK atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan sepanjang penganjuran tersebut.

Beliau berkata, selain menjadi platform hiburan, Festival Gegaq 2025 turut memberi manfaat besar kepada pelajar termasuk peningkatan keyakinan diri, kepimpinan serta semangat kerja berpasukan yang menjadi tunjang utama kelancaran festival kali ini.

Menurutnya, walaupun program itu bermula dengan langkah kecil di Kampus Kejuruteraan USM, kejayaan penganjuran tersebut membuktikan bahawa kampus cawangan juga mampu melaksanakan program berskala besar dan bertaraf universiti.

“Festival ini bukan sahaja menghiburkan, malah memberi impak positif kepada pelajar daripada aspek keyakinan diri, kepimpinan dan kerja berpasukan, khususnya kepada yang terlibat secara langsung,” katanya.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Ihsan Sekretariat Festival Gegaq 2025