Skip to main content

PESTA BUDAYA KEJUT 3.0 ANGKAT WARISAN DAN KEPELBAGAIAN BUDAYA DI KAMPUS KEJURUTERAAN USM

DSC 7523

NIBONG TEBAL, 19 Disember 2025 - Pesta Budaya Kejut 3.0 anjuran Pertubuhan Siswa Siswi Sabah (PERSIS) Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi platform penting dalam meraikan keunikan budaya, tradisi dan kreativiti komuniti mahasiswa, selain mengukuhkan perpaduan dalam kepelbagaian masyarakat kampus.

Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar yang mewakili Naib Canselor berkata, penganjuran program seumpama itu membuktikan bahawa budaya dan tradisi merupakan akar umbi yang menyatukan masyarakat dalam keharmonian, khususnya dalam menghadapi arus pemodenan dan globalisasi.

Menurut beliau, pemeliharaan dan penghargaan terhadap warisan budaya perlu diteruskan agar nilai-nilai tersebut kekal relevan serta dihargai oleh generasi muda, selari dengan usaha universiti melahirkan graduan yang seimbang dari segi intelek dan sahsiah.

DSC 7533 DSC 7576

DSC 7541 DSC 7558

DSC 7569 DSC 7604

 

“Melalui program seperti ini, bukan sahaja semangat cintakan budaya dapat dipupuk, malah penghargaan terhadap kepelbagaian serta keterbukaan dalam penyertaan dapat diperkasakan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Sementara itu, Pengarah Projek Pesta Budaya Kejut 3.0, Farealynn Mayrelyn Kolin berkata, kejayaan penganjuran program tersebut adalah hasil komitmen dan kerjasama padu seluruh ahli jawatankuasa yang menyumbang idea, masa dan tenaga.

Menurutnya, Pesta Budaya Kejut 3.0 yang mengetengahkan tema “Rentak Warisan, Irama Budaya” membawa maksud bahawa budaya bukan sekadar persembahan semata-mata, sebaliknya merupakan irama yang menghidupkan jiwa serta rentak yang memelihara warisan dan identiti bangsa.

“Setiap persembahan tarian, alunan muzik dan busana tradisional yang dipersembahkan membawa cerita, sejarah dan jati diri masyarakat pelbagai suku dan kaum,” katanya.

DSC 7625 DSC 7645

DSC 7699 DSC 7707 

DSC 7723 DSC 7734

Tambah beliau, penganjuran tersebut memberi peluang kepada para hadirin untuk bukan sahaja menonton, malah merasai pengalaman budaya, memahami makna di sebalik warisan serta menghargai kepelbagaian sebagai satu kekuatan.

Program Pesta Budaya Kejut 3.0 turut menyediakan ruang kepada mahasiswa dan mahasiswi menonjolkan bakat serta kreativiti melalui pelbagai persembahan seni, pertandingan tradisional dan pameran interaktif, sekali gus menjadikan acara itu pengalaman bermakna kepada semua yang terlibat.

Turut hadir ialah Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa) yang mewakili Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Ir. Dr. Hussin Mamat; Pegawai Kebudayaan Kanan yang mewakili Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Mohd Nur Badri Mohd Nazli; serta Yang Dipertua Pertubuhan Siswa-Siswi Sabah USM, Gulam Nor Ahmad Khan Norazman.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman