Skip to main content

14 PTJ DAN PUSAT PENGAJIAN DARI KAMPUS KEJURUTERAAN USM RAIH PENARAFAN 5 DAUN PEJABAT HIJAU

DSC 7841

USM PULAU PINANG, 22 Disember 2025 - Sebanyak 14 Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan Pusat Pengajian dari Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) menerima penarafan tertinggi lima daun sempena Majlis Penarafan Pejabat Hijau Universiti Sains Malaysia 2025 yang berlangsung di sini, hari ini.

Daripada jumlah tersebut, dua PTJ menerima Anugerah Kategori Projek/Inovasi/Inisiatif Kelestarian Berimpak Tinggi, manakala tujuh PTJ lain menerima Anugerah Saguhati sebagai pengiktirafan terhadap pelaksanaan inisiatif kelestarian yang konsisten dan berimpak di peringkat jabatan.

Bagi kategori Projek/Inovasi/Inisiatif Kelestarian Berimpak Tinggi, penerimanya ialah Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam menerusi projek Penternakan Ikan Keli the Leaf: Greenhouse@SOCE, dan Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC) melalui Program Pengumpulan Pakaian dan Barangan Terpakai 1.0 hingga 4.0.

DSC 7849 DSC 7897

DSC 8058 DSC 7929

Sementara itu, penerima Anugerah Saguhati terdiri daripada Perpustakaan Musa Mohamad, Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti (UKKP), Unit Kesihatan, Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC), Pusat Perumahan dan Penginapan Universiti, serta Jabatan Pendaftar.

Selain itu, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia turut menerima anugerah bagi kategori Projek Lestari menerusi penganjuran USM Lestari Fun Run.

PTJ dan pusat pengajian lain dari Kampus Kejuruteraan yang turut menerima penarafan lima daun ialah Pejabat Pengarah Kampus, Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT), Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Pusat Transformasi Digital (PTD) serta Pusat Swa-Akreditasi (PSA).

DSC 8002 DSC 8007

DSC 8007 DSC 7968

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, dalam ucapannya menegaskan bahawa pelaksanaan inisiatif kelestarian ini bukan bertujuan mengejar penarafan atau kedudukan semata-mata, sebaliknya berasaskan komitmen jangka panjang USM terhadap agenda kelestarian.

“Kita telah melaksanakan amalan ini sejak tahun 2008, bukan kerana ranking, tetapi kerana kita percaya kepada konsep kelestarian dalam universiti,” katanya.

Menurut beliau, amalan kelestarian telah lama diterapkan secara menyeluruh dalam ekosistem kampus, sekali gus memberi impak langsung kepada pelajar dan staf.

DSC 7987 DSC 8042

DSC 8018 DSC 8074

Pada majlis berkenaan, Naib Canselor turut merasmikan Smart Drive-Thru Recycle Centre (DTRC) yang disifatkan sebagai pendekatan praktikal dan berkesan dalam memperkukuh budaya kitar semula serta pengurusan sisa secara sistematik di peringkat jabatan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dr. Azlan Amran, berkata penganjuran majlis berkenaan mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh agenda kelestarian.

“Tahun ini merupakan tahun ketiga pelaksanaan penarafan dan kali kedua majlis ini diadakan. Malah, jumlah PTJ yang memperoleh lima daun telah menunjukkan peningkatan, sekali gus membuktikan kematangan dalam amalan kelestarian di USM,” ujarnya.

“Pada tahun ini, sebanyak 120 penyertaan diterima, dengan 72 PTJ memperoleh penarafan lima daun, meningkat 40 peratus berbanding tahun 2024, manakala 32 PTJ meraih empat daun, sekali gus membuktikan peningkatan prestasi yang konsisten berbanding tahun sebelumnya,” kata Profesor Dr. Azlan.

Beliau menambah, pencapaian ini selaras dengan objektif utama Penarafan Pejabat Hijau, iaitu menyemai dan memperkukuh amalan kelestarian dalam semua PTJ melalui penilaian berasaskan indikator yang komprehensif dan bersepadu.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman