Skip to main content

PERJUMPAAN PENGARAH KAMPUS KEJURUTERAAN BERSAMA MPP PERKUKUH HALA TUJU MAHASISWA

 DSC 8279

Nibong Tebal, 7 Januari 2026 – Pengarah Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan perjumpaan bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kampus Kejuruteraan bagi Sidang Akademik 2025/2026 bertempat di Bilik Mesyuarat Pejabat Pengarah.

Perjumpaan ini bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan MPP serta membentangkan hala tuju dan inisiatif mahasiswa yang merangkumi aspek kebajikan, pemerkasaan akademik, fasiliti pelajar serta pembangunan kepimpinan dan perpaduan. Antara inisiatif utama yang diketengahkan ialah program kebajikan mahasiswa, sokongan akademik melalui sistem mentor-mentee, penambahbaikan fasiliti kampus dan cadangan penganjuran program berimpak tinggi untuk memperkukuh kesejahteraan pelajar.

Beberapa isu pelajar turut dibincangkan termasuk keselamatan, parkir kenderaan, infrastruktur jalan, kes penipuan (scammer) serta cadangan pembangunan keusahawanan pelajar. Pihak pengurusan kampus mengambil maklum semua cadangan dan komited untuk tindakan susulan secara berperingkat.

Perjumpaan ini mencerminkan komitmen berterusan pihak pengurusan Kampus Kejuruteraan USM dalam memperkukuh kerjasama bersama MPP demi kebajikan dan pembangunan holistik mahasiswa.

DSC 8244 DSC 8245

DSC 8264 DSC 8248

“Majlis Perwakilan Pelajar memainkan peranan penting sebagai penghubung antara mahasiswa dan pihak pengurusan kampus”, kata Profesor Ir. Dr. Mariatti.

“Saya berharap kerjasama yang erat ini dapat diteruskan agar segala isu, cadangan dan aspirasi pelajar dapat disalurkan secara berhemah dan berkesan demi mewujudkan suasana pembelajaran yang aman, harmoni dan kondusif di Kampus Kejuruteraan,” tambahnya lagi.

Hadir sama dalam perjumpaan ini, Encik Hafiz Assad Zakaria, Timbalan Pendaftar Kanan, Jabatan Pendaftar, Ir. Mohd Nizam Mohd Razak, Timbalan Pengarah Kanan (JPPF), Encik Mazlifendirizan Md Rejab, Timbalan Pengarah, Pusat Transformasi Digital (Kejuruteraan), Puan Hasliza Mat Saad, Penggawa Desasiswa Jaya Lembaran Utama, serta wakil Jabatan Keselamatan, Pusat Perumahan dan Penginapan Universiti (HAC) dan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA).

Teks: Mohd Kamil Ashar/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman