Skip to main content

PASUKAN TEAM ALACARD RANGKUL NAIB JOHAN NEXG GODAMLAH 2.0 SMART ID HACKATHON

WhatsApp Image 2026 01 15 at 09.22.51

USM Pulau Pinang, 11 Januari 2026 - Pasukan Team AlaCard, gabungan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berjaya merangkul gelaran Naib Johan bagi kategori Security Track dalam pertandingan NexG GodamLah 2.0 Smart ID Hackathon Grand Finale baru baru ini.

Pasukan tersebut menewaskan sebahagian besar daripada 701 peserta yang mewakili 186 pasukan sebelum berjaya menempatkan diri dalam kelompok sembilan pasukan terbaik dan seterusnya dinobatkan sebagai pemenang tempat kedua.

Kejayaan itu membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000. Pertandingan yang berlangsung di Cyberview, Cyberjaya itu dianjurkan oleh Kolaxus dan NexG Berhad dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Keselamatan Siber (CYRES) USM serta Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Kejayaan pasukan ini turut dipacu oleh bimbingan Ts. Dr. Mohd Najwadi Yusoff, selain khidmat nasihat awal Profesor Madya Dr. Aman Jantan dari Pusat Pengajian Sains Komputer dalam membantu membentuk hala tuju projek.

WhatsApp Image 2026 01 15 at 09.22.45 WhatsApp Image 2026 01 15 at 09.22.49

WhatsApp Image 2026 01 15 at 09.22.51 1 WhatsApp Image 2026 01 15 at 09.22.51

Pasukan AlaCard dianggotai oleh Gan Min Hui dari Pusat Pengajian Bahan dan Sumber Mineral, USM; Koh Kean Hoe, Ernest Lim Shun Hang dan Zoe Chan Zi Yi dari Pusat Pengajian Sains Komputer, USM; serta Choong Kar Jun dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik Mekatronik, UTM.

Inovasi yang dipertaruhkan, AlaCard atau Privacy Preserving Eligibility Verification, merupakan satu penyelesaian keselamatan digital yang inovatif dan berimpak tinggi.

Sistem ini membolehkan pengesahan kelayakan subsidi atau bantuan kerajaan dilakukan tanpa mendedahkan data peribadi sensitif pengguna.

Dengan memanfaatkan teknologi Zero Knowledge Proofs dan kriptografi asimetrik berasaskan Public Key Infrastructure, AlaCard mampu membuktikan kelayakan pengguna dalam bentuk keputusan ya atau tidak tanpa perlu berkongsi nombor MyKad atau maklumat pendapatan.

Sistem ini dijangka mampu mengurangkan ketirisan subsidi dan penipuan identiti antara 70 hingga 90 peratus, selain menyokong integrasi MyDigital ID serta penggunaan biometrik MyKad fizikal.

Teks: Gan Min Hui / Foto: Ihsan NexG GodamLah 2.0