Skip to main content

25 PELAJAR USM KAMPUS KEJURUTERAAN SERTAI PROGRAM KEBUDAYAAN DI PENJARA SEBERANG PERAI

WhatsApp Image 2026 01 16 at 15.16.41

NIBONG TEBAL, 14 Januari 2026 - Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Unit Pemulihan Penjara Seberang Perai telah menganjurkan Program Kebudayaan Behind the Bars bertempat di Penjara Seberang Perai.

Program tersebut melibatkan seramai 25 orang pelajar USM Kampus Kejuruteraan dan diketuai oleh Pegawai Kebudayaan BHEPA, Mohd Nur Badri Mohd Nazli.

Program ini menyaksikan pelbagai persembahan kebudayaan yang dipersembahkan oleh seramai 209 orang prospek, terdiri daripada 169 prospek lelaki dan 40 prospek wanita.

Penganjuran program ini bertujuan sebagai satu inisiatif pemulihan melalui terapi muzik, di samping memberi ruang kepada prospek untuk menonjolkan bakat, membina keyakinan diri serta memperkukuh integrasi sosial dalam persekitaran pemulihan.

Selain itu, program ini turut memberi pendedahan bermakna kepada pelajar USM mengenai realiti kehidupan prospek, sekali gus memupuk nilai kesyukuran, empati dan kefahaman terhadap konsep peluang kedua, di samping membantu mengurangkan stigma masyarakat terhadap golongan tersebut.

Sepanjang program, para pelajar dan tetamu disajikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan seni, termasuk tarian pembukaan oleh prospek wanita, tarian Alu-Alu, nyanyian, tarian Zapin Mahpom, deklamasi sajak oleh pelajar USM serta persembahan kumpulan muzik secara langsung oleh prospek lelaki.

Timbalan Pengarah Penjara, PP Rozita Sharif, bersama Ketua Bahagian Korektif, TPP Nik Md Hanis bin Nik Mohd Hassian, turut menyampaikan nasihat kepada pelajar USM serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas penglibatan pihak universiti dalam program berkenaan.

Mereka turut berharap agar kerjasama seumpama ini dapat diteruskan sebagai platform kolaborasi pada masa hadapan.

Turut hadir ialah Penolong Ketua Bahagian Korektif, Penolong Penguasa Penjara Mohd Fadly Teppo; Ketua Inspektor Penjara Tuan Zurhusni Tuan Mustapha; Ketua Unit Pemulihan Encik Lokmanhakim Abas; Pegawai Psikologi Penjara Seberang Perai serta pegawai-pegawai kanan penjara.

Wakil USM yang hadir termasuk Ketua Unit Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni Kampus Kejuruteraan, Mohd Hafiz Ali Mohd Anuar dan Pegawai Psikologi BHEPA, Muhammad Anif bin Mohd Robi.

Teks: Ihsan Unit Media Penjara Seberang Perai & Mohd Nur Badri Mohd Nazli / Foto: Ihsan Unit Media Penjara Seberang Perai

Suntingan: Siti Faizah Abd Halim