KAMPUS KEJURUTERAAN TUANKU SYED SIRAJUDDIN PERKUKUH PERANAN SEBAGAI HAB KEJURUTERAAN DAN SEMIKONDUKTOR NEGARA

NIBONG TEBAL, 30 Januari 2026 - Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh peranannya sebagai pemacu utama pembangunan kejuruteraan dan teknologi negara menerusi pelbagai inisiatif strategik yang diumumkan dalam Majlis Perutusan Naib Canselor 2026.
Seperti yang dinyatakan oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, USM terus mengorak langkah sebagai universiti berimpak global dengan menggariskan hala tuju strategik universiti bagi tahun 2026 sempena majlis tersebut yang berlangsung hari ini.
Dalam perutusan kali ini, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menegaskan bahawa Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin memainkan peranan strategik dalam menyokong agenda nasional menerusi pembangunan bakat berkemahiran tinggi, pengukuhan kerjasama industri dan pemerkasaan ekosistem penyelidikan.



Antara pencapaian utama ialah pelaksanaan Kurikulum Semikonduktor ATMP Micro-USM, yang merupakan yang pertama di institusi pengajian tinggi tempatan, selari dengan keperluan industri dan Strategi Semikonduktor Negara.
“Malah, dalam usaha memperkukuh masa depan pendidikan tinggi, USM turut mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) dalam pengajaran dan pembelajaran, dengan lebih 80 peratus program akademik telah mengadaptasi elemen AI, dan sasaran 100 peratus pelaksanaan menjelang 2026,” ujarnya.
Di samping itu, kampus ini terus menjadi peneraju dalam pendidikan fleksibel, pembelajaran sepanjang hayat serta program berorientasikan industri bagi melahirkan graduan berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran global.



Dari aspek infrastruktur dan kesejahteraan, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin menerima manfaat besar melalui peruntukan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan Ke-13, termasuk naik taraf kemudahan pembelajaran, infrastruktur digital serta projek fizikal berimpak tinggi.
“Penekanan turut diberikan kepada kelestarian kampus, peningkatan liputan WiFi, serta pelaksanaan amalan hijau selaras dengan komitmen USM terhadap agenda kelestarian global,” tambah beliau.
Selain daripada itu, penjenamaan semula Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin turut menandakan satu fasa baharu pembangunan USM dalam menerajui kecemerlangan kejuruteraan, memperkukuh ekosistem semikonduktor negara, serta membentuk modal insan berimpak tinggi negara.
Dalam majlis yang sama, Naib Canselor turut melancarkan buku Tuanku Syed Sirajuddin Universiti Sains Malaysia Engineering Campus & Its Avifauna, sebuah penerbitan yang mendokumentasikan kepelbagaian spesies burung yang mendiami Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin.



Buku ini diterbitkan hasil kolaborasi Profesor Madya Dr. Mohd Remy Rozainy Mohd Arif Zainol dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam bersama Mohd Abdul Muin Md Akil dari Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) dan Syafiq Shaharuddin dari Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC).
Ianya menampilkan dokumentasi visual dan saintifik yang memperlihatkan keseimbangan antara pembangunan fizikal kampus serta kelestarian alam sekitar sepanjang hampir 25 tahun pembangunan kampus di Nibong Tebal.
Penerbitan ini selaras dengan pengiktirafan Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin sebagai Global Network of Ecohydrology Demonstration Site di bawah UNESCO Intergovernmental Hydrological Programme (UNESCO-IHP), sekali gus mengukuhkan peranan kampus sebagai makmal hidup (living lab), pusat rujukan pendidikan serta simbol komitmen USM terhadap pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan lestari.
Mengakhiri perutusan, Naib Canselor menegaskan bahawa kecemerlangan USM bukan sekadar diukur melalui kedudukan ranking, tetapi melalui impak sebenar kepada masyarakat, negara dan dunia, selaras dengan aspirasi universiti sebagai peneraju ilmu dan pemangkin pembangunan lestari.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman