USM DAN TNB RESEARCH METERAI MoU PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK PENYELIDIKAN TENAGA

USM PULAU PINANG, 4 Februari 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan TNB Research Sdn. Bhd. (TNBR) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam satu majlis rasmi, sekali gus memformalkan kerjasama strategik penyelidikan kontrak antara kedua-dua institusi.
Kerjasama ini mencerminkan keyakinan industri terhadap keupayaan USM sebagai rakan strategik dalam menangani cabaran transformasi sektor tenaga, khususnya dalam pembangunan penyelesaian pengurusan tenaga yang berdaya tahan dan fleksibel.
Inisiatif ini selaras dengan keperluan kebolehpercayaan sistem kuasa serta peningkatan penembusan tenaga boleh baharu, sejajar dengan agenda peralihan tenaga negara.
Melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, USM komited menyumbang kepakaran akademik dan penyelidikan gunaan bagi menghasilkan penyelesaian berasaskan sains yang praktikal, relevan, dan berimpak tinggi kepada industri.


MoU ini menyediakan rangka kerja kerjasama yang tersusun merangkumi penyelidikan dan pembangunan bersama, penciptaan teknologi, perkongsian ilmu serta pembangunan kapasiti jangka panjang dalam bidang sistem kuasa dan tenaga, berteraskan tadbir urus profesional serta perlindungan harta intelek.
Antara fokus utama kerjasama ini ialah pelaksanaan projek “Energy Management System for Resilient Generation Reliability,” yang menumpukan kepada pembangunan model perancangan penjanaan dan penghantaran tenaga serta platform sokongan keputusan berasaskan data.
Projek ini menyatukan kepakaran pemodelan dan pengoptimuman sistem kuasa oleh USM dengan keperluan operasi sebenar industri oleh TNB Research, bagi memastikan hasil penyelidikan menyokong perancangan tenaga negara secara mampan dan berdaya tahan.