Skip to main content

TELEKOM MALAYSIA BERHAD SERAH ZAKAT WAKALAH RM10,000 KEPADA USM

DSC 2115

NIBONG TEBAL, 27 Februari 2026 - Telekom Malaysia Berhad (TM) menyerahkan sumbangan Zakat Wakalah berjumlah RM10,000.00 kepada Universiti Sains Malaysia (USM) dalam satu majlis yang berlangsung di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Nibong Tebal, hari ini.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia, Rafiee Yahaya kepada Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha.

Dalam ucapannya, Mariatti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Telekom Malaysia Berhad atas sumbangan yang diberikan.

“Bagi pihak USM, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan zakat wakalah ini. Sumbangan ini diharapkan dapat meringankan beban keluarga dan sedikit sebanyak membantu keperluan pelajar sepanjang pengajian mereka di USM,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa USM sentiasa bertekad menyantuni pelajar sejak hari pertama mereka bergelar mahasiswa, khususnya golongan asnaf, B40 dan orang kurang upaya (OKU).

DSC 2057 DSC 2072

DSC 2092 DSC 2124

Menurut beliau, usaha berkenaan selari dengan lima Prinsip Maqasid Syariah yang dituntut oleh syarak serta enam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 1: Tiada Kemiskinan; SDG 2: Sifar Kelaparan; SDG 3: Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan; SDG 4: Pendidikan Berkualiti; SDG 8: Pekerjaan yang Sesuai dan Pertumbuhan Ekonomi; serta SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan.

Tambahnya lagi, komitmen berterusan universiti dalam memperkasa kebajikan pelajar turut menyumbang kepada pengiktirafan global apabila USM dinobatkan sebagai universiti nombor satu dunia dalam tiga SDG oleh Times Higher Education Impact Rankings 2025 iaitu SDG 1 (Tiada Kemiskinan), SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh) dan SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat), sekali gus berada di kedudukan ke-14 terbaik dunia secara keseluruhan.

“Saya mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada Telekom Malaysia Berhad sebagai rakan korporat yang sentiasa bersama USM dalam menghulurkan bantuan dan sokongan berterusan,” ujar beliau.

Sementara itu, Rafiee berkata, Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Telekom Malaysia yang berperanan menyalurkan sumbangan kebajikan termasuk zakat wakalah.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan oleh pihak USM kepada Telekom Malaysia selama ini, dan menyifatkan penyerahan zakat wakalah tersebut sebagai antara usaha berterusan dalam memperkukuh hubungan serta menyokong kebajikan pelajar yang memerlukan.

Turut hadir adalah Pengarah Pejabat Zakat, Waqaf dan Infaq USM, Profesor Madya Dr. Anwar Allah Pitchay; Naib Yang Dipertua 1, Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia (BAKIT) Pulau Pinang, Muhammad Izanie Khairani dan Naib Yang Dipertua 2, Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia (BAKIT), Afifah Akmal Arshad.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahma