UNIVERSITI BUKAN SEKADAR SEBUAH INSTITUSI, TETAPI KOMUNITI YANG SALING MENYOKONG - NAIB CANSELOR

NIBONG TEBAL, 4 Mac 2026 - Majlis Berbuka Puasa Bersama Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) 2026 Peringkat Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan muhibah di Anjung Insani, Pusat Islam di sini hari ini.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, dalam ucapannya menyatakan bahawa Ramadan memberi ruang kepada warga universiti untuk memperlahankan langkah dan menilai semula keutamaan dalam kehidupan seharian.
Menurut beliau, dalam kesibukan tuntutan akademik dan pengurusan, Ramadan mengingatkan bahawa universiti bukan sekadar institusi ilmu, tetapi sebuah komuniti yang saling bergantung dan saling menyokong.
Beliau turut menekankan bahawa kecemerlangan akademik dan daya saing global merupakan tanggungjawab asas universiti, namun kekuatan sebenar sesebuah institusi terletak pada nilai yang dipegang bersama.
“Reputasi dibina melalui pencapaian, manakala kepercayaan lahir daripada integriti serta tanggungjawab terhadap komuniti,” ujar beliau.


Sejajar dengan semangat tersebut, beliau dimaklumkan bahawa sepanjang Ramadan ini, Jawatankuasa Aktiviti Ramadan kampus telah mengagihkan 120 Kit Sumbangan Insani Ramadan kepada pekerja kontrak cucian.
“Ianya adalah tanda penghargaan atas peranan mereka yang memastikan kampus sentiasa berada dalam keadaan terbaik untuk kita bekerja dan belajar,” kata Naib Canselor.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen universiti untuk terus menambah baik kemudahan dan Naib Canselor turut menegaskan komitmen universiti dalam menyediakan prasarana yang selesa dan inklusif untuk warga kampus.
Antara inisiatif tersebut ialah pembangunan Anjung Insani Pusat Islam, yang turut dirasmikan beliau pada majlis berkenaan.
“Kemudahan ini merupakan ruang baharu di Pusat Islam yang disediakan untuk manfaat bersama warga Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin dan berharap ia akan menjadi platform interaksi yang lebih kondusif sambil memperkukuh silaturahim sesama kita,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, memaklumkan bahawa pelbagai pengisian telah dirangka sepanjang bulan Ramadan oleh Pusat Islam dengan kerjasama Jawatankuasa Aktiviti Ramadan kampus.
“Antara program yang dilaksanakan termasuk tazkirah ringkas, majlis berbuka puasa, sumbangan kepada mereka yang memerlukan, solat berjemaah, tarawih serta qiamullail pada 10 malam terakhir,” katanya.
Beliau menjelaskan, meskipun kampus kini berada dalam tempoh cuti semester dan aktiviti akademik tidak berjalan seperti biasa, suasana Ramadan tetap dihidupkan melalui program-program yang menyatukan warga kampus.
“Penglibatan staf akademik, staf pentadbiran, pekerja sokongan dan para pelajar dalam setiap penganjuran juga amat memberangsangkan, tidak kira bangsa mahupun agama,” ujar beliau lagi.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman