PROGRAM GEAR UP! 2026 BERI PENDEDAHAN AWAL BIDANG KEJURUTERAAN KEPADA 102 PELAJAR MRSM

NIBONG TEBAL, 10 Mac 2026 - Seramai 102 orang pelajar daripada tiga Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) telah menyertai Program Gear Up! 2026 anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang berlangsung di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.
Inisiatif tersebut bertujuan memberikan pendedahan awal kepada para pelajar mengenai bidang-bidang kejuruteraan serta peluang melanjutkan pengajian di peringkat universiti, khususnya di KKTSS.
Ketua Penolong Pendaftar Pejabat Pengarah KKTSS, Mohd. Kamil Ashar berkata, program tersebut diyakini mampu memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai bidang kejuruteraan yang ditawarkan di kampus berkenaan.
“Saya yakin program ini dapat memberikan pendedahan awal kepada para pelajar khususnya tentang bidang-bidang kejuruteraan yang ditawarkan di kampus ini,” ujar beliau.


“Kepada anak-anak harapan bangsa yang ada di hadapan saya hari ini, gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk bertanya soalan, melihat dengan lebih dekat bidang kejuruteraan dan membayangkan diri anda sebagai sebahagian daripada warga universiti pada masa hadapan,” katanya.
Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak MARA atas penganjuran program berkenaan yang disifatkan sebagai satu langkah tepat dalam membantu para pelajar merancang masa depan akademik mereka.
Menurut beliau, penganjuran program tersebut juga amat bertepatan dengan pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan pada 31 Mac 2026 akan datang.
“Sekurang-kurangnya melalui program ini para pelajar dapat memperoleh pendedahan awal tentang bidang pengajian yang ditawarkan, sekali gus membantu mereka membuat pertimbangan dan keputusan yang lebih jelas dalam memilih haluan untuk menyambung pengajian selepas ini,” tambah beliau lagi.


Sepanjang program berlangsung, para pelajar telah mengikuti ceramah khas bertajuk “Your Future Starts Here” yang disampaikan oleh Ir. Dr. Nur Ayshah Rosli dalam memberi gambaran mengenai laluan kerjaya dalam bidang kejuruteraan serta kepentingan persediaan awal dalam menentukan hala tuju akademik masing-masing.
Selain itu, para peserta turut dibawa melawat ke enam pusat pengajian kejuruteraan di kampus iaitu Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia serta Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik.
Secara keseluruhan, program yang diadakan buat kali kedua di KKTSS ini melibatkan penyertaan 34 pelajar dari MRSM Perlis, 34 pelajar dari MRSM Kedah dan 34 pelajar dari MRSM Pulau Pinang.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman