MPDEC 2026 SERLAHKAN KREATIVITI DAN KESEDARAN LESTARI PELAJAR KEJURUTERAAN USM

NIBONG TEBAL, 4 April 2026 - Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM), Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menganjurkan program Materials & Product Design Eco-Challenge (MPDEC) 2026.
Program tajaan daripada GSH Precision Technology Sdn. Bhd. ini dilaksanakan dengan kerjasama Mineral & Material Engineering Society (MIMATES) menghimpunkan pelajar dalam satu platform kompetitif yang memfokuskan kepada pembangunan idea produk berasaskan konsep kelestarian.
Sepanjang program, para peserta diberi peluang mempersembahkan idea inovatif yang mengintegrasikan prinsip kejuruteraan bahan dan sumber mineral dengan pendekatan reka bentuk produk yang mesra alam, sebelum dinilai oleh panel juri akademia dan industri jemputan.
Dekan PPKBSM, Profesor Ts. Dr. Zulkifli Mohamad Ariff, dalam ucapannya berkata bahawa penganjuran program seperti ini merupakan satu inisiatif penting dalam melahirkan graduan kejuruteraan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah mempunyai kesedaran tinggi terhadap keperluan pembangunan lestari.
Beliau turut menekankan bahawa pelajar perlu didedahkan kepada cabaran sebenar industri agar mampu menghasilkan penyelesaian yang praktikal, inovatif dan berimpak tinggi.
Menurut Profesor Zulkifli, penganjuran MPDEC 2026 mencerminkan komitmen PPKBSM USM dalam melahirkan graduan kejuruteraan yang holistik dan bersedia menghadapi cabaran industri masa kini.
“Sokongan daripada pihak industri seperti GSH Precision Technology Sdn. Bhd. juga membuktikan kepentingan kolaborasi strategik antara universiti dan industri dalam memperkukuh ekosistem pendidikan kejuruteraan negara,” ujarnya
Menurut beliau lagi, secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja menjadi medium untuk mencungkil bakat dan kreativiti pelajar, malah turut memperkukuh peranan universiti dalam memacu agenda pembangunan lestari melalui pendidikan dan inovasi kejuruteraan.
Sementara itu, Pengarah projek, Harashta Mufazzal Fatytra, menyatakan bahawa program ini direka sebagai platform untuk menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif dan kritikal dalam menghasilkan reka bentuk produk yang relevan dengan keperluan semasa.
Menurut beliau, pendekatan berasaskan pertandingan dan pameran idea memberi peluang kepada pelajar untuk mengasah kemahiran komunikasi serta meningkatkan keyakinan diri dalam membentangkan hasil kerja mereka kepada panel profesional.
Program ini turut menyediakan ruang kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan teori yang dipelajari di dalam bilik kuliah ke dalam situasi sebenar, selaras dengan keperluan industri yang kini semakin menekankan elemen kelestarian, kecekapan sumber dan inovasi dalam pembangunan produk.
Dalam konteks global, bidang kejuruteraan kini bergerak ke arah penggunaan bahan hijau dan reka bentuk rendah karbon, menjadikan pendedahan awal seperti ini sangat signifikan kepada pembangunan kompetensi pelajar.
Teks: Ihsan Dr. Ku Esyra Hani Ku Ishak / Foto: Ihsan Material and Mineral Resources Society (MIMATES)
Suntingan: Siti Faizah Abd Halim