SINERGI UNIVERSITI, INDUSTRI DAN PELAJAR WARNAI EKOSISTEM STEM DI IDEA SCIENCE FAIR 2026

NIBONG TEBAL, 11 April 2026 - Penganjuran IDEA Science Fair 2026 terus menjadi platform strategik dalam memperkukuh budaya inovasi serta kreativiti pelajar apabila menghimpunkan ratusan peserta dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti dari seluruh Malaysia.
Malah, program yang berlangsung selama dua hari pada 11 dan 12 April 2026 ini di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin Universiti Sains Malaysia (USM) ini turut memperlihatkan kerjasama erat antara universiti dan industri dalam memperkasa ekosistem Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) negara.
Program tersebut dirasmikan oleh Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, mewakili Naib Canselor USM.
Dalam ucapan perasmian, beliau menyatakan bahawa program ini melalui aktiviti yang dijalankan dijangka memperlihatkan bagaimana teori kejuruteraan dapat diaplikasikan secara praktikal dalam menghasilkan penyelesaian yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Beliau turut menyatakan bahawa program ini bukan sahaja membuka ruang interaksi konstruktif antara peserta dan panel juri, malah memberi peluang secara langsung kepada pelajar untuk memperoleh maklum balas bernilai sebagai persediaan menghadapi dunia sebenar industri kelak.
Menurut beliau, saban tahun IDEA Science Fair bukan sekadar pameran reka bentuk, sebaliknya merupakan manifestasi komitmen USM dalam menterjemahkan SDG melalui penyelesaian praktikal.
“Selari dengan tema “Innovating Minds, Designing the Future”, program ini mempamerkan bagaimana pelajar mengintegrasikan ketepatan kejuruteraan dengan nilai kemanusiaan dalam menangani cabaran dunia sebenar,” kata beliau.


Tambahnya, USM kekal komited dalam melahirkan bakat yang bukan sahaja cemerlang dari segi teknikal, malah boleh menyesuaikan diri serta berjiwa komuniti dalam usaha menjadi tonggak kemajuan masyarakat.
“Malah, program ini mendapat sokongan padu daripada industri dengan penyertaan 14 syarikat sebagai penaja yang memainkan peranan penting sebagai penilai dan mentor bagi memastikan inovasi pelajar kekal relevan dengan kehendak industri serta berpotensi untuk dikomersialkan,“ tambah beliau.
IDEA Science Fair 2026 antara lain bertujuan memperkasa budaya kreativiti dan inovasi dalam kalangan murid sekolah rendah dan menengah, di samping memberi pendedahan awal terhadap suasana pekerjaan sebenar kepada pelajar universiti terlibat.
Usaha ini turut disokong melalui pameran kreatif yang bertindak sebagai medium meningkatkan minat serta kesedaran masyarakat terhadap STEM.
Turut dianjurkan adalah pertandingan STEM serta Roboquest yang menyaksikan penyertaan lebih kurang 40 pasukan dari pelbagai negeri seluruh negara, masing-masing mewakili kategori sekolah menengah, matrikulasi/STPM/prauniversiti dan universiti, sekali gus membuktikan sambutan positif terhadap inisiatif yang diketengahkan.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Ihsan Ahli Jawatankuasa IDEA Science Fair 2026