KKTSS USM JADI TUAN RUMAH LARIAN BERGANTI-GANTI ‘ROUND THE HOUSES 2026’

NIBONG TEBAL, 11 April 2026 - Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Persatuan Olahraga Amatur Pulau Pinang (PAAA), Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang serta MILO menjadi tuan rumah Larian Berganti-Ganti Round the Houses 2026 di kampus berkenaan hari ini.
Larian Berganti-Ganti Round The Houses yang mula diperkenalkan pada tahun 1958 merupakan antara acara tradisi penting dalam kalendar olahraga Pulau Pinang dan sehingga kini terus mendapat sambutan menggalakkan daripada atlet serta penggiat sukan pelbagai peringkat.
Pada peringkat awal, acara ini diadakan di Jalan Sepoy Lines (Padang Polo), sebelum diperluaskan ke pelbagai lokasi sekitar negeri Pulau Pinang bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, di samping memupuk semangat kerjasama dan berpasukan dalam kalangan peserta.
Penganjuran edisi tahun ini di KKTSS USM adalah bersempena sambutan ulang tahun ke-25 kampus tersebut dan merupakan sebahagian daripada pengisian aktiviti sambutan perak kampus berkenaan.
Sebanyak 18 pasukan telah mengambil bahagian dalam larian kali ini, termasuk penyertaan kontinjen dari negeri Perlis, Kedah dan Perak, menjadikan acara ini lebih meriah dan kompetitif.



Presiden PAAA, Dato’ Seri Syed Mohamad Aidid berkata, penganjuran larian tersebut bukan sekadar sebuah acara sukan, sebaliknya merupakan platform untuk memelihara tradisi olahraga serta menggalakkan pembinaan semangat setiakawan dan kerjasama berpasukan merentas generasi atlet.
“PAAA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Universiti Sains Malaysia, khususnya KKTSS, kerana sudi membuka kampus sebagai lokasi penganjuran sempena ulang tahun ke-25 kampus, di samping sokongan padu yang diberikan terhadap kelestarian acara warisan ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan kerjasama, pasukan yang bertanding, pegawai teknikal serta para sukarelawan yang telah menyumbang komitmen dan tenaga bagi memastikan kelancaran serta kejayaan penganjuran acara tersebut.
Sementara itu, Dekan Pusat Pengajaran Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Profesor Ts. Dr. Zulkifli Mohamad Ariff, yang mewakili Pengarah Kampus KKTSS USM berkata, pihak kampus berbesar hati dan berbangga dapat menjadi tuan rumah kepada acara bersejarah tersebut sempena sambutan ulang tahun ke-25 KKTSS.
Menurut beliau, penganjuran program sukan seperti ini mencerminkan komitmen KKTSS USM dalam menyokong gaya hidup sihat, pembangunan belia serta penglibatan komuniti melalui aktiviti sukan dan rekreasi.
Teks dan Foto: Ihsan Persatuan Olahraga Amatur Pulau Pinang (PAAA)