KLINIK VARSITY SEPAK TAKRAW LEAGUE (VSL) SIRKIT 1 USM 2026 CUNGKIL BAKAT MUDA SUKAN SEPAK TAKRAW

NIBONG TEBAL, 14 April 2026 - Penganjuran Klinik Varsity Sepak Takraw League (VSL) Sirkit 1 Universiti Sains Malaysia (USM) 2026 berjaya menghimpunkan penyertaan memberangsangkan daripada lebih 12 buah sekolah melibatkan tiga negeri iaitu Pulau Pinang (Seberang Perai Selatan), Perak (Kerian) dan Kedah (Bandar Baharu).
Program yang berlangsung bersempena Kejohanan Varsity Sepak Takraw League Sirkit 1 di Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS) dari 14 hingga 18 April 2026 ini mencatatkan penyertaan seramai 85 orang peserta, terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah dan 15 orang guru pengiring.
Klinik ini dikendalikan oleh barisan tenaga pengajar daripada pasukan KPT-MASUM yang diketuai oleh bekas tekong kebangsaan, Ahmad Saufi Hashim, bersama beberapa pemain berpengalaman, sekali gus memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari teknik dan kemahiran secara langsung daripada pemain bertaraf tinggi.


Majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada pemain terbaik mengikut posisi telah disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Ir. Dr. Zainal Ahmad, mewakili Pengarah KKTSS USM.
Menurut beliau, penganjuran program ini bertujuan memperkenalkan sukan sepak takraw kepada generasi muda, di samping mendekatkan Kampus Kejuruteraan dengan komuniti setempat melalui platform sukan.
“Inisiatif ini juga dilihat sebagai sebahagian usaha memeriahkan sambutan Jubli Perak 25 tahun penubuhan kampus di Nibong Tebal ini,” ujarnya.


Beliau turut berharap program seperti ini dapat menyuntik minat yang lebih mendalam dalam kalangan peserta terhadap sukan sepak takraw, selain memberi ruang untuk mereka mengasah serta menonjolkan bakat dan kemahiran sedia ada.
Dalam masa yang sama, beliau menzahirkan harapan agar penganjuran klinik seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform melahirkan lebih ramai pelapis muda yang berpotensi mengharumkan nama negara.
“Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif yang ditetapkan, malah turut memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti melalui pendekatan pembangunan bakat dan sukan,” tambah beliau.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman