USM PERKUKUH AGENDA SUKAN IPT SEBAGAI SALAH SATU LOKASI PENGANJURAN VSC 2026

NIBONG TEBAL, 16 April 2026 - Kejohanan Varsity Sports Championship (VSC) 2026 yang dilancarkan hari ini menjadi platform penting dalam memperkukuh pembangunan sukan berprestasi tinggi di institusi pengajian tinggi (IPT), sekali gus berperanan sebagai medan strategik dalam melahirkan atlet mahasiswa yang berupaya bersaing di peringkat antarabangsa.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata, VSC merupakan model baharu penganjuran acara sukan yang dijenamakan semula daripada Program Sukan Utama yang telah dilaksanakan oleh kementerian sejak tahun 2010.
Menurut beliau, VSC yang mula diperkenalkan pada tahun 2025 memberi penekanan kepada penganjuran acara sukan yang konsisten serta berprestasi tinggi bagi memastikan tahap keupayaan atlet IPT sentiasa berada pada tahap terbaik untuk bersaing di peringkat tertinggi.
Beliau berkata, kejohanan tersebut turut berfungsi sebagai medium utama dalam penyediaan atlet berpotensi untuk menyumbang pingat pada temasya sukan antarabangsa seperti ASEAN University Games (AUG), Sukan Universiti Dunia (WUG), Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik.



“Bagi tahun 2026, VSC menjadi platform pertandingan yang amat berkesan, khususnya dalam persediaan Malaysia sebagai tuan rumah ASEAN University Games (AUG) 2026 yang dijadual berlangsung pada penghujung tahun ini,” katanya.
Beliau turut berharap agar semua program dan kejohanan di bawah VSC, termasuk Sirkit 1 Varsity Sepak takraw League yang sedang berlangsung serta Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT), dapat memberikan impak yang signifikan terhadap peningkatan prestasi atlet IPT sepanjang tahun ini.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, universiti berbesar hati menerima amanah sebagai tuan rumah Sirkit 1 Varsity Sepak takraw League (Zon Utara) yang menghimpunkan atlet sepak takraw daripada pelbagai universiti di seluruh negara dari 14 hingga 18 April 2026 di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin.



Menurut beliau, USM sebagai sebuah universiti awam sentiasa menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memperkukuh pembangunan sukan di peringkat institusi pengajian tinggi, antaranya dengan menyediakan ruang dan platform yang sesuai bagi membolehkan program seumpama ini dilaksanakan secara menyeluruh.
Tambah beliau, penglibatan USM sebagai tuan rumah turut mencerminkan komitmen universiti untuk berperanan sebagai rakan strategik kepada kementerian dan penganjur dalam memacu agenda pembangunan bakat serta modal insan negara.
“Selain itu, kejohanan ini memberi peluang kepada atlet mahasiswa untuk bersaing dalam suasana pertandingan yang teratur, dan USM komited memastikan segala kemudahan serta sokongan sewajarnya disediakan bagi menjamin kelancaran penganjuran,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa USM akan terus menyokong usaha KPT dalam memperkukuh pembangunan sukan di peringkat pengajian tinggi selaras dengan aspirasi melahirkan graduan yang seimbang dan berdaya saing.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman