MAJLIS KONVOKESYEN WESTERN DIGITAL-USM 2026 RAI KEJAYAAN GRADUAN EDiDAMM DAN SIJIL PROFESIONAL TEKNOLOGI VAKUM

PULAU PINANG, 6 Mei 2026 - Majlis Konvokesyen Western Digital (WD)-Universiti Sains Malaysia (USM) 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Sains@USM, Bukit Jambul, pada 29 April 2026.
Majlis ini dianjurkan bagi meraikan kejayaan peserta yang telah menamatkan program Executive Diploma in Data Analytics for Manufacturing Materials (EDiDAMM) serta Professional Certificate in Vacuum Technology for Thin Film Deposition, hasil kerjasama strategik antara USM dan Western Digital (WD) Media.
Dalam ucapannya, Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha menyifatkan majlis tersebut sebagai satu penghormatan untuk meraikan rakan industri serta graduan program diploma dan sijil profesional berkenaan.



Beliau menegaskan bahawa pencapaian ini bukan sekadar menamatkan program, malah mencerminkan disiplin, ketahanan serta komitmen tinggi terhadap pembelajaran berterusan, khususnya dalam mengimbangi tuntutan kerjaya dan tanggungjawab peribadi.
Beliau turut menekankan bahawa penyertaan dalam program ini merupakan satu keputusan strategik dalam usaha memperkukuh keupayaan teknikal serta meningkatkan kefahaman dalam landskap kejuruteraan dan pembuatan yang sentiasa berkembang.
“Dalam persekitaran industri yang dinamik, keupayaan untuk terus belajar, menyesuaikan diri dan menambah baik kemahiran adalah amat penting,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, program ini dirangka bagi merapatkan jurang antara pengetahuan akademik dan amalan industri, dengan penekanan terhadap kemahiran berfikir secara sistematik, penyelesaian masalah serta keupayaan membuat keputusan secara berkesan.


Tambah Profesor Ir. Dr. Mariatti, pengetahuan yang diperoleh, jelasnya, diyakini dapat diterjemahkan dalam bentuk aplikasi sebenar di tempat kerja, termasuk dalam menambah baik proses, meningkatkan kualiti dan menangani cabaran operasi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan industri, khususnya Western Digital, atas kerjasama dan sokongan berterusan dalam membangunkan tenaga kerja yang kompeten dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Turut hadir ialah Naib Presiden merangkap Pengurus Besar WD Media (Malaysia) Sdn. Bhd., Encik Dwight Iha; Encik EB Quah dari Non-Sputter Engineering; Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Profesor Ts. Dr. Zulkifli Mohamad Ariff; serta Ir. Dr. Hussin Mamat yang mewakili Apex Business Unit (ABU) merangkap Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman