Skip to main content

USM TEROKA PELUANG KOLABORASI AKADEMIK BERSAMA UNIVERSITÉ DE MONTPELLIER

DSC 6176

NIBONG TEBAL, 11 Mei 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin hari ini menerima kunjungan delegasi dari Université de Montpellier, Perancis bagi mengadakan sesi perbincangan akademik kedua-dua institusi.

Delegasi diketuai oleh Ketua Jabatan Mekanikal, Fakulti Sains Université de Montpellier, Profesor Azéma Emilien bersama lima orang wakil universiti berkenaan hadir bagi meneroka potensi kerjasama dua hala dalam bidang akademik, penyelidikan dan mobiliti antarabangsa.

Sesi perbincangan tersebut merupakan susulan kepada perbincangan awal yang telah diadakan sebelum ini bersama bahagian Pusat Kualiti Akademik Universiti (PKA) USM melalui Pengarahnya, Ir. Ts. Dr. Mastura Azmi berkaitan potensi kerjasama strategik antara kedua-dua institusi.

Hadir mempengerusikan sesi tersebut, Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha berkata, kunjungan tersebut mencerminkan komitmen kedua-dua universiti dalam memperkukuh jaringan akademik antarabangsa yang lebih strategik.

Menurut beliau, perbincangan seperti itu amat penting dalam membuka ruang kepada pelbagai bentuk kerjasama termasuk pertukaran pelajar dan staf, penyelidikan bersama, pembangunan akademik serta perkongsian kepakaran antara institusi.

DSC 6190 DSC 6222

DSC 6226 DSC 6252

Sementara itu, Profesor Azéma Emilien menjelaskan bahawa lawatan rasmi tersebut diadakan bagi memahami proses, struktur dan keperluan berkaitan pelaksanaan kerjasama dua hala USM dan Université de Montpellier.

Beliau berkata, kunjungan tersebut juga bertujuan meneliti potensi tindakan susulan yang boleh dilaksanakan ke arah membangunkan kerjasama akademik yang lebih tersusun dan berkesan pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Ir. Ts. Dr. Mastura Azmi berharap sesi perbincangan tersebut dapat membantu mempertingkat kelancaran proses rasmi yang diperlukan bagi merealisasikan kerjasama antara kedua-dua institusi.

Turut hadir dalam sesi berkenaan adalah Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM), Profesor Ts. Dr. Zulkifli Mohamad Ariff dan wakil-wakil pusat pengajian yang berkenaan.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman