Skip to main content

USM RAIH PINGAT EMAS NAFEC 2026 MENERUSI INOVASI SMART SOLDRY HOME

WhatsApp Image 2026 05 15 at 14.03.59 3

PULAU PINANG, 15 Mei - Projek Smart SolDry Home yang dibangunkan penyelidik Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta kejayaan apabila meraih Pingat Emas dan Anugerah Khas Inovasi sempena Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian dan Makanan (NAFEC) 2026.

Kejayaan itu diraih menerusi inovasi sistem pengeringan kulit lembu secara tertutup berasaskan teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT) dalam pertandingan yang berlangsung di Seremban pada 12 Mei lalu.

Ketua penyelidik projek, Ir. Ts. Dr. Muhammad Hafiz Hassan dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik (PPK Mekanik) USM berkata, sistem itu dibangunkan bagi menggantikan kaedah pengeringan konvensional yang mengambil masa terlalu lama selain terdedah kepada pencemaran persekitaran.

695838710 1512102946938978 587724182897227948 n 697253278 1512102873605652 6703709536041357783 n

Menurut beliau, Smart SolDry Home berjaya memendekkan tempoh pengeringan kulit lembu daripada kira-kira tiga bulan kepada hanya sekitar sebulan dengan proses yang lebih bersih, tersusun dan terkawal.

“Melalui sistem ini, proses pengeringan dijalankan dalam persekitaran tertutup dan dipantau menggunakan teknologi IoT bagi memastikan kawalan suhu, kelembapan dan perubahan berat kulit lembu dapat direkod secara lebih sistematik,” katanya.

Tambah Dr. Hafiz, teknologi itu turut membantu pengusaha menentukan tahap pengeringan optimum apabila berat kulit lembu berkurang sekitar 60 peratus daripada berat asal tanpa hanya bergantung kepada pemerhatian manual.

“Selain itu, inovasi berkenaan bukan sahaja meningkatkan konsistensi kualiti produk, malah menyokong usaha mendapatkan pensijilan halal kerana keseluruhan proses pengeringan lebih bersih dan mempunyai rekod kebolehkesanan yang lebih baik,” ujar beliau lagi.

Katanya, kejayaan projek itu di NAFEC 2026 didorong oleh keupayaan Smart SolDry Home menyelesaikan masalah sebenar industri khususnya berkaitan tempoh pengeringan, kebersihan proses dan kawalan kualiti produk kulit lembu frozen.

                               WhatsApp Image 2026 05 15 at 14.03.59 WhatsApp Image 2026 05 15 at 14.03.59 1

WhatsApp Image 2026 05 15 at 14.03.59 2 WhatsApp Image 2026 05 15 at 14.03.59 3

“Projek ini juga mempunyai potensi komersial yang tinggi kerana produk kulit lembu boleh diposisikan sebagai makanan berasaskan kolagen bernilai tinggi untuk pasaran halal,” katanya.

Menurut Dr. Muhammad Hafiz, pasukan penyelidik kini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh rantaian pengeluaran serta pembangunan dokumentasi halal bagi membolehkan produk kulit lembu frozen dipasarkan secara lebih meluas termasuk ke pasar raya dan pasaran eksport.

Projek berkenaan dibangunkan dalam tempoh kira-kira setahun bermula pada 2023 sebelum mula beroperasi pada Julai 2024 hasil kerjasama antara USM, Azkar Resources, dan Azmi Ijok Farm.

Selain Dr. Muhammad Hafiz, projek itu turut melibatkan Ir. Dr. Abdul Haadi Abdul Manap, juga dari PPK Mekanik yang memberi tumpuan kepada pembangunan sistem IoT dan pemantauan data, manakala Azkar Resources berperanan dalam pembangunan produk kulit lembu frozen serta penyelarasan operasi pemprosesan hiliran bersama komuniti dan industri terlibat.

Teks : Muhammad Hakimi Md Saad dan Nurul Ismahani Rizuan (Pelajar Latihan Industri)

Foto: Ihsan Ir. Ts. Dr. Muhammad Hafiz Hassan / Unit Komunikasi Korporat Kementerian Perladangan dan Komoditi KPK

Suntingan: Siti Faizah Abd Halim