Skip to main content

100 PELAJAR ASNAF USM TERIMA MANFAAT PROGRAM SAKURA PTPTN-UDA

DSC 7659

NIBONG TEBAL, 18 Mei 2026 - Pelajar asnaf Universiti Sains Malaysia (USM) antara yang menerima manfaat Program Sinar Kasih UDA Cares - PTPTN (SAKURA), hasil kerjasama strategik antara Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan UDA Holdings Berhad dalam membantu meringankan beban kewangan pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) seluruh negara.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan bagi memperluas akses pendidikan tinggi, di samping membudayakan amalan menabung dan perancangan kewangan pendidikan dalam kalangan masyarakat.

Program ini merupakan kesinambungan kepada kolaborasi strategik yang dimeterai antara kedua-dua organisasi sejak tahun 2024 selaras dengan aspirasi bersama dalam memperkukuh agenda pendidikan tinggi negara serta memupuk budaya prihatin dalam kalangan masyarakat.

DSC 7488 DSC 7545

DSC 7596 DSC 7566

Menurut Pengerusi PTPTN, Dato' Seri Norliza Abdul Rahim, sumbangan ini diharap dapat meringankan beban pelajar serta meningkatkan motivasi mereka untuk terus memberi tumpuan kepada pembelajaran.

“Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada UDA Holdings Berhad atas sumbangan dan keprihatinan yang diberikan, sekali gus mencerminkan sinergi kukuh antara PTPTN dan UDA Holdings Berhad dalam memperluas budaya prihatin dan menabung dalam kalangan masyarakat,” ujar beliau.

Dato’ Seri Norliza dalam pada itu turut menyeru sokongan dan kerjasama semua agensi kerajaan dan swasta untuk bersama-sama membudayakan amalan menabung di negara ini sambil turut mengalu-alukan sebarang bentuk kolaborasi strategik demi manfaat pendidikan generasi masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad, Dato' Sri Ahmad Fuaad Kenali, berkata, program SAKURA ini diharap dapat menyokong pembangunan insan yang lebih seimbang serta menyumbang kepada pembentukan generasi masa depan yang berdaya saing dan berdaya tahan.

Kata beliau, menerusi program ini, UDA Holdings Berhad menyalurkan sumbangan wakalah zakat berjumlah RM240,000 untuk dimanfaatkan oleh 1,200 pelajar asnaf dari Universiti Awam (UA), Politeknik dan Kolej Komuniti terpilih di seluruh Malaysia.

DSC 7549 DSC 7609

DSC 7634 DSC 7679

“Sumbangan tersebut disalurkan terus ke dalam akaun Simpan SSPN Prime dengan setiap pelajar menerima RM200 seorang,” tambahnya.

Dalam majlis yang sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, mewakili Naib Canselor USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya berkata, dalam dunia pendidikan yang semakin mencabar, sokongan pelbagai pihak seperti UDA Holdings Berhad dan PTPTN amat penting bagi memastikan akses pendidikan tinggi dapat dinikmati secara menyeluruh.

Menurut beliau, USM amat menghargai keprihatinan serta inisiatif ini, yang bukan sahaja dapat membantu pelajar dari sudut kewangan, malah turut mendidik generasi muda mengenai kepentingan perancangan kewangan dan budaya menabung sejak awal.

“Saya amat berharap agar sumbangan yang diterima oleh 100 orang pelajar asnaf USM ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, khususnya bagi tujuan pendidikan serta pembangunan diri yang berterusan,” katanya.

Turut sama hadir ialah Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dr. Shamsuri Abdullah; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Ketua Pegawai Kewangan UDA Holdings Berhad, Farizal Zainudin, dan Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman