USM-SAMTEC PERKUKUH PEMBANGUNAN BAKAT TEKNIKAL MELALUI PROGRAM EDiMA

PULAU PINANG, 15 Mei 2026 - Majlis Konvokesyen bagi kumpulan pertama Executive Diploma in IR 4.0 for Manufacturing and Automation (EDiMA) telah diadakan baru-baru ini pada 6 Mei 2026 sebagai penghargaan terhadap pencapaian kohort perintis program tersebut.
Majlis tersebut turut menjadi satu pencapaian penting dalam kerjasama strategik antara Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa dan Samtec Asia Pacific (Malaysia) Sdn. Bhd. dalam memperkasa pembangunan bakat dan transformasi tenaga kerja dalam bidang Industri 4.0, pembuatan dan automasi.
Selain itu, ia turut mencerminkan komitmen kukuh pihak akademia dan industri dalam melahirkan tenaga profesional teknikal yang bersedia menghadapi cabaran masa depan, sebagaimana ditegaskan oleh Dekan Pusat Pengajian tersebut, merangkap Pengarah Apex Business Unit, Profesor Madya Dr. Elmi Abu Bakar dalam ucapan beliau.
Dalam majlis tersebut, beliau mengucapkan tahniah kepada semua graduan atas ketabahan, komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan sepanjang mengikuti program tersebut.


Menurut beliau, program EDiMA bukan sekadar melambangkan pencapaian akademik, malah mencerminkan pertumbuhan profesional berterusan, daya tahan dan kesiapsiagaan dalam mendepani keperluan Industri 4.0 yang sentiasa berkembang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Samtec atas kepercayaan dan kerjasama erat bersama USM dalam membangunkan bakat berkemahiran tinggi yang relevan dengan keperluan industri semasa.
Sementara itu, Pengurus Loji Samtec Pulau Pinang, Jorge Chaves dalam ucapan industrinya menekankan kepentingan pembelajaran berterusan dan transformasi tenaga kerja dalam menyokong masa depan industri pembuatan berteknologi tinggi.
Beliau turut mengiktiraf kejayaan kerjasama antara Samtec dan USM dalam membantu pekerja meningkatkan keupayaan teknikal serta kompetensi profesional mereka.

Tambah beliau, Samtec yakin program EDiMA akan terus berkembang dan syarikat itu komited dalam melahirkan bakat industri yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Program EDiMA dibangunkan bagi merapatkan jurang antara keperluan industri dan kompetensi tenaga kerja melalui gabungan pembelajaran teori serta latihan industri secara praktikal.
Kurikulum program memberi fokus kepada bidang elektronik, automasi, penyelenggaraan, sistem industri, aplikasi PLC, instrumentasi dan teknologi Industri 4.0, sekali gus membolehkan peserta membangunkan kompetensi yang sejajar dengan keperluan industri pembuatan moden.
Secara keseluruhannya, Majlis Konvokesyen EDiMA USM-Samtec 2026 berjaya membuktikan kekuatan kerjasama antara akademia dan industri dalam melahirkan tenaga teknikal berkemahiran tinggi, di samping memperkukuh agenda pembelajaran sepanjang hayat, pembangunan profesional dan pendidikan berteraskan industri.
Teks dan Foto: Ihsan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa