EKSPO KERJAYA KEJURUTERAAN 2026 USM HIMPUN LEBIH 60 PEMAIN INDUSTRI
NIBONG TEBAL, 20 Mei 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan menerusi penganjuran Ekspo Kerjaya Kejuruteraan 2026 yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, di sini hari ini.
Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dr. Azlan Amran yang mewakili Naib Canselor dalam ucapannya menyatakan bahawa kehadiran lebih 60 syarikat dan organisasi industri dalam ekspo berkenaan mencerminkan keyakinan berterusan pihak industri terhadap kualiti serta kebolehpasaran graduan USM.
“Penyertaan dalam jumlah yang memberangsangkan ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan dan membuktikan kekuatan jaringan strategik antara universiti dan industri,” katanya.


Ekspo Kerjaya Kejuruteraan 2026 dianjurkan sebagai platform utama yang menghubungkan pelajar kejuruteraan dengan pihak industri menerusi pendedahan kepada peluang pekerjaan, latihan industri serta jaringan profesional bersama majikan.
Program itu melibatkan penyertaan pelbagai syarikat industri dan syarikat pemula niaga (start-up) yang menawarkan akses terus kepada ribuan pelajar kejuruteraan daripada pelbagai bidang termasuk aeroangkasa, awam, elektrik dan elektronik, mekanikal, kimia, bahan serta sumber mineral.
Mengulas lanjut, Profesor Dr. Azlan berkata program tersebut telah dirangka dengan pelbagai inisiatif awal sebagai persediaan pelajar termasuk pemerkasaan kemahiran insaniah dan latihan temu duga sebelum diteruskan melalui sesi libat urus bersama industri sepanjang ekspo berlangsung.

Katanya, pendekatan menyeluruh itu penting bagi memastikan graduan bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah bersedia memenuhi keperluan sebenar dunia pekerjaan yang kini berkembang pesat selari dengan kemajuan teknologi, kecerdasan buatan dan pendigitalan global.
“Graduan masa kini perlu mempunyai keupayaan menyesuaikan diri, berfikir secara kritikal serta sentiasa meningkatkan kompetensi sepanjang hayat,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan komitmen USM dalam melahirkan graduan yang mempunyai kekuatan akademik dan teknikal selain nilai kepimpinan, kematangan profesional serta kebolehan berkomunikasi dan berkolaborasi secara berkesan.


Katanya, pendekatan pendidikan berasaskan nilai HEBAT iaitu Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate dan Thinking menjadi tunjang utama dalam membentuk graduan yang relevan dan kompetitif.
Dalam pada itu, beliau turut menghargai sokongan berterusan rakan industri yang memainkan peranan penting dalam pembangunan bakat negara secara lebih responsif dan berimpak tinggi.
Pada akhir ucapan, beliau berharap ekspo tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak industri bagi mengenal pasti dan menarik bakat berkualiti khususnya dalam kalangan pelajar tahun akhir USM yang bakal menamatkan pengajian.
Turut sama hadir ialah Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Sains Malaysia, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Energize Incorporated, Taro Ozaki; serta Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr. Azizah Omar.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman