PROGRAM “SAILING INTO SOUTHERN SEAS” TONJOL KEUNIKAN BUDAYA NANYANG DAN KEHARMONIAN MASYARAKAT MAJMUK

NIBONG TEBAL, 17 Mei 2026 - Program “Sailing into Southern Seas” anjuran Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan dengan kerjasama Persatuan Bahasa Tionghua telah berjaya diadakan di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Sains Malaysia.
Program yang berlangsung pada 17 Mei 2026 itu mengetengahkan keunikan masyarakat pelbagai kaum serta warisan kebudayaan Cina melalui penghayatan budaya Nanyang yang mencerminkan sejarah, bahasa, makanan dan gaya hidup masyarakat majmuk di Asia Tenggara.
Pengerusi Rancangan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Ajuntha Kuppan berkata, tema “Sailing into Southern Seas” membawa makna yang mendalam kerana tema tersebut mengingatkan masyarakat tentang sejarah penghijrahan masyarakat Cina ke Asia Tenggara suatu ketika dahulu.
Menurut beliau, masyarakat Cina yang berhijrah ke rantau ini membawa bersama bahasa, adat dan budaya mereka sebelum berinteraksi dengan masyarakat tempatan seterusnya melahirkan budaya Nanyang yang unik dan kaya dengan unsur kepelbagaian masyarakat dan tradisi.


“Budaya Nanyang berkembang hasil percampuran budaya masyarakat Cina, Melayu, India dan komuniti lain di rantau ini. Melalui makanan, bahasa pertuturan hinggalah ke gaya hidup masyarakat, semuanya mencerminkan keharmonian budaya yang menjadi identiti Malaysia hari ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa program seumpama itu amat penting khususnya kepada generasi muda yang semakin jauh ketinggalan daripada sejarah dan warisan budaya sendiri pada arus dunia moden.
Tambah beliau lagi, usaha mahasiswa menghidupkan kembali penghayatan ini merupakan satu inisiatif yang sangat bermakna dan wajar dihargai.
Sementara itu, Pengerusi Rancangan Bahagian Bahasa Asing, Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, Dr. Lee Pin Ling turut menyatakan bahawa budaya tidak seharusnya menjadi tembok pemisah, sebaliknya perlu dijadikan jambatan yang menghubungkan masyarakat melalui persefahaman dan hormat-menghormati antara satu sama lain.


Menurut beliau, keterbukaan program tersebut kepada seluruh warga universiti tanpa mengira kaum dan latar belakang membuktikan bahawa kepelbagaian budaya mampu menjadi medium penyatuan dalam kalangan warga kampus.
Dalam pada itu, Ketua Projek “Sailing into Southern Seas 2026” merangkap Guru Penasihat Persatuan Bahasa Tionghua, Khor Gek Suan, berkata program ini bukan sekadar sebuah pameran atau aktiviti kebudayaan semata-mata, tetapi turut menjadi satu platform penghayatan budaya yang bermakna kepada para peserta.
Menurut beliau, program itu memberi peluang kepada peserta untuk mengenali sejarah, memahami evolusi budaya serta menghargai kepentingan warisan budaya dalam kehidupan masyarakat hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Penyelaras Program, Nicholas Fam Zi Jian dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut. Beliau berharap inisiatif seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dalam memperkukuh semangat perpaduan dan meningkatkan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dalam kalangan masyarakat.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Ihsan Sekretariat Program “Sailing into Southern Seas” 2026