Skip to main content

LAWATAN INDUSTRI POLYPLAS PERKUKUH PEMAHAMAN PELAJAR KEJURUTERAAN POLIMER USM

WhatsApp Image 2026 05 25 at 16.14.17

PULAU PINANG, 18 Mei 2026 - Seramai 23 orang pelajar Program Kejuruteraan Polimer dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah mengadakan lawatan industri ke Polyplas Sdn. Bhd.

Lawatan tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai aplikasi sebenar industri polimer serta proses pengeluaran dan pengurusan operasi di syarikat berkenaan.

Sepanjang sesi lawatan, para pelajar berpeluang menimba ilmu berkaitan teknologi pemprosesan plastik, kawalan kualiti produk serta amalan keselamatan di tempat kerja.

Pada lawatan ini, pelajar turut didedahkan kepada penggunaan teknologi dan mesin terkini yang digunakan dalam industri pembuatan polimer.

Menurut Dr. Muhamad Sharan Musa selaku Pensyarah Pengiring, lawatan industri tersebut memberikan peluang kepada para pelajar untuk memahami dengan lebih jelas aplikasi sebenar reka bentuk acuan dan dai dalam industri pembuatan polimer.

dsdDsxSXX kjdbksjbdkjabs

Katanya, para pelajar dapat melihat sendiri bagaimana proses pengeluaran dijalankan secara sistematik bermula daripada reka bentuk produk, proses pengacuan, sistem kawalan kualiti sehingga penggunaan teknologi moden dalam industri.

“Pengalaman pembelajaran secara langsung seperti ini sangat penting kerana ia membantu pelajar menghubungkan teori yang dipelajari dalam subjek EBP 302 Die and Mould Design dengan situasi sebenar di tempat kerja,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa lawatan tersebut dapat memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai suasana industri, aspek keselamatan di tempat kerja serta keperluan kemahiran teknikal dan profesional yang diperlukan dalam bidang pembuatan polimer pada masa kini.

“Program ini diharapkan dapat meningkatkan kefahaman pelajar terhadap bidang kejuruteraan polimer di samping mengeratkan hubungan antara pihak universiti dan industri dalam usaha melahirkan graduan yang lebih kompeten, berdaya saing dan memenuhi keperluan semasa industry,” akhiri beliau.

Teks: Nur Zahirah Aisyah Baharin (pelajar Tahun 3, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral)

Foto: Yasmin Munir (pelajar Tahun 3, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral)