EKSPEN 2026 PERLUAS AKSES DAN PELUANG KERJAYA KEPADA MAHASISWA

NIBONG TEBAL, 10 Jun 2026 - Career & Education Expo (EKSPEN) 2026 yang berlangsung di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menjadi platform strategik dalam memperkukuh hubungan antara mahasiswa dan industri, sekali gus menyokong usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan universiti.
Program yang merupakan subprogram utama di bawah Ekspo Kerjaya Kejuruteraan 2026 (E2K26) itu telah dirasmikan oleh Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata penganjuran EKSPEN 2026 memainkan peranan penting dalam mempersiapkan mahasiswa menghadapi dunia pekerjaan yang semakin mencabar dan kompetitif, selain menjadi wadah menghargai komitmen serta usaha sekretariat yang telah menjayakan program berimpak tinggi kepada komuniti kampus.
Menurut beliau, pengisian program yang dirancang secara teliti bersama sokongan rangkaian industri turut menyokong aspirasi kampus untuk memastikan tahap kebolehpasaran graduan sentiasa berada pada kedudukan terbaik.
"Hasrat kita adalah supaya pengalaman dan ilmu yang diperoleh sepanjang berada di kampus ini dapat diterjemahkan kepada peluang kerjaya yang berkualiti sebaik sahaja pelajar menamatkan pengajian," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan penganjuran program tersebut merupakan hasil kerjasama erat pelbagai pihak yang berjaya mengatasi pelbagai cabaran sepanjang proses perancangan dan pelaksanaan.


Tambah beliau, penglibatan pelajar dalam menganjurkan program berskala besar seperti EKSPEN 2026 memberikan nilai tambah yang signifikan dari aspek pembangunan kepimpinan, ketahanan diri serta semangat kerja berpasukan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank, Ben Ho dalam ucapannya menzahirkan ucapan tahniah kepada USM atas pencapaian cemerlang dalam Talentbank Graduate Employability Award 2026.
Beliau berkata, berdasarkan penilaian yang dibuat sepenuhnya oleh majikan di seluruh negara, USM berjaya berada dalam kelompok tiga universiti terbaik di Malaysia dari aspek kebolehpasaran graduan.
"USM turut menerima pengiktirafan Talentbank 6-Star Employer Choice, iaitu tahap keyakinan tertinggi majikan, dalam 27 bidang pengajian. Malah, dalam tujuh bidang, USM muncul sebagai juara dalam kalangan universiti awam di Malaysia," katanya.


Menurut beliau, pencapaian tersebut membuktikan kepercayaan tinggi industri terhadap kualiti graduan USM, khususnya dalam bidang kejuruteraan apabila tiga daripada tujuh bidang yang diiktiraf sebagai juara adalah berkaitan kejuruteraan.
15 majikan terkemuka negara telah menyertai EKSPEN 2026 bagi membuka peluang kepada mahasiswa untuk meneroka prospek kerjaya, membina jaringan profesional serta mendapatkan pendedahan secara langsung mengenai keperluan industri.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman