Skip to main content

SOKONGAN KPT BANTU PELAJAR B40 AKSES PENDIDIKAN TINGGI

NIBONG TEBAL, 12 Jun 2026 - Mahasiswa Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Sains Malaysia (USM) menyambut baik pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah tidak tercicir daripada melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi akibat kekangan kewangan.

Speaker Parlimen Mahasiswa USM merangkap Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Muhamad Nuraiman Mohd Yusrino berkata, pendidikan merupakan aset paling bernilai dalam usaha membangunkan negara yang maju dan berdaya saing, justeru akses kepada pendidikan tinggi perlu diberikan secara adil kepada semua lapisan masyarakat.

Menurut beliau, pelbagai bentuk bantuan yang disediakan kerajaan seperti bantuan awal pendaftaran, kemudahan pembiayaan pendidikan, biasiswa, bantuan sara hidup, bantuan kebajikan serta penempatan desasiswa bersubsidi membuktikan komitmen tinggi kerajaan dalam memastikan pendidikan tinggi dapat diakses oleh semua golongan rakyat.

"Tiada pelajar yang seharusnya terhalang daripada mengejar cita-cita hanya kerana faktor kewangan. Pendidikan merupakan kunci utama untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat dan melahirkan generasi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara," katanya.

Beliau berkata, inisiatif yang diperkenalkan KPT juga memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap cabaran yang dihadapi pelajar dan keluarga, khususnya ketika proses pendaftaran ke universiti.

Tambahnya, bantuan seperti penangguhan bayaran pendaftaran, bantuan pengangkutan, pelan pembayaran secara ansuran serta bantuan kecemasan mampu mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh pelajar baharu dan keluarga mereka.

 

Pada masa sama, beliau berpandangan bahawa usaha tersebut selaras dengan agenda pembangunan modal insan negara yang memerlukan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan pelbagai sektor strategik.

Menurut beliau, sokongan kerajaan terhadap pendidikan tinggi juga perlu diteruskan bagi memperkukuhkan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga pakar, memperkasa inovasi dan memacu pembangunan negara.

Selain itu, beliau turut mengiktiraf penekanan yang diberikan kerajaan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dilihat mampu membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk memperoleh kemahiran yang memenuhi keperluan industri semasa serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Beliau berkata, gabungan usaha memperkukuhkan pendidikan tinggi, memperluaskan akses TVET dan meningkatkan penyertaan dalam bidang STEM akan membantu Malaysia melahirkan generasi yang lebih berdaya saing, berkemahiran tinggi serta mampu menyokong aspirasi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Sehubungan itu, beliau berharap segala inisiatif yang dilaksanakan dapat diteruskan dan diperkasakan bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang tercicir daripada peluang mendapatkan pendidikan tinggi.