PENDIDIKAN ASAS MEMBINA MASA DEPAN, TINGKATAN ENAM TERUS DIPERKASA

NIBONG TEBAL, 15 Jun 2026 - Pendidikan merupakan asas utama dalam mengubah kehidupan serta membuka peluang yang lebih baik untuk masa depan, khususnya kepada pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan.
Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, YB Wong Kah Woh ketika Sesi bersama beliau sempena Minggu Hala Tuju Tingkatan Enam Tahun 2026 di Kampus Kejuruteraan Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.
Dalam ucapannya, beliau berkongsi pengalaman peribadinya melanjutkan pengajian ke Tingkatan Enam pada tahun 1999 dan menyifatkan laluan tersebut sebagai peluang pendidikan yang paling realistik serta mudah diakses pada ketika itu.
Menurut beliau, pendidikan bukan sahaja menjadi penentu masa depan seseorang, malah merupakan platform untuk individu berusaha meningkatkan taraf hidup dan mencapai masa depan yang lebih baik.
Wong turut menekankan komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memperkasa imej Tingkatan Enam menerusi pelaksanaan Program Tingkatan Enam Dalam Kampus Universiti yang diperkenalkan tahun lalu melalui kerjasama dengan USM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


"Usaha ini bertujuan mengembalikan kegemilangan Tingkatan Enam serta menjadikannya antara pilihan utama pelajar selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.
Beliau mengakui bahawa kurikulum Tingkatan Enam merupakan antara laluan akademik yang lebih mencabar, namun yakin cabaran tersebut mampu membentuk pelajar menjadi individu yang lebih berdaya tahan, matang dan bersedia untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
"Menerusi konsep pembelajaran dalam persekitaran kampus universiti, pelajar juga berpeluang merasai sendiri pengalaman kehidupan universiti serta mendapat pendedahan yang lebih dekat kepada laluan pengajian peringkat ijazah," tambah beliau.
Menurutnya, seramai 47 pelajar menyertai program tersebut di kampus USM pada tahun lalu, manakala sehingga kini seramai 35 pelajar Semester 1 telah mendaftar bagi sesi tahun ini, dan meskipun jumlah itu masih kecil, peluang menjadi sebahagian daripada kumpulan perintis merupakan satu keistimewaan yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
Sementara itu, pelajar Tingkatan Enam Dalam Kampus USM, Nur Nadhirah Musyahadah, 19, daripada kohort pertama aliran Sains Sosial, menyambut baik cadangan yang dibangkitkan berhubung laluan kemasukan terus STPM ke universiti awam.


Menurut beliau, sekiranya dilaksanakan, cadangan tersebut mampu menarik lebih ramai lepasan SPM untuk memilih Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai pilihan utama serta meningkatkan lagi pengiktirafan terhadap kelayakan tersebut yang setanding dengan laluan-laluan lain.
Beliau turut mencadangkan agar kementerian mewujudkan portal rasmi khusus bagi Program Tingkatan Enam Dalam Kampus Universiti supaya maklumat yang sahih dan mudah dicapai dapat disediakan kepada pelajar.
Nur Nadhirah juga menghargai kesediaan Timbalan Menteri untuk berinteraksi secara langsung dengan pelajar dan mendengar pandangan serta cadangan mereka, sekali gus memberikan keyakinan bahawa kebajikan dan keperluan pelajar sentiasa menjadi keutamaan.
Seorang lagi pelajar kohort pertama Program Tingkatan Enam Dalam Kampus Universiti di USM, Law Li Jing, 19, daripada aliran Sains, berkata antara mesej yang paling memberi inspirasi ialah penekanan bahawa kecemerlangan akademik semata-mata bukan satu-satunya ukuran kejayaan, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan nilai etika, ilmu pengetahuan dan kemahiran berfikir secara kritis.
Menurut beliau, mesej yang paling diingatinya ialah bagaimana setiap ilmu dan pengalaman yang dipelajari sepanjang tempoh persekolahan, khususnya ketika melalui cabaran Tingkatan Enam, memainkan peranan dalam membentuk kematangan serta cara berfikir seseorang pelajar.
"Nasihat 'no pain, no gain' turut menjadi motivasi untuk kami terus memberikan yang terbaik dalam pengajian STPM," katanya.
Turut sama hadir dalam sesi ini adalah Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abd Rahman