Skip to main content

KKTSS USM PERKASA KESEDARAN KELESTARIAN MELALUI PROGRAM PENGURUSAN E-WASTE

NIBONG TEBAL, 23 Jun 2026 - Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh komitmen terhadap agenda kelestarian kampus melalui penganjuran Program Taklimat Pengurusan E-Waste: Kesedaran, Tanggungjawab dan Amalan Pelupusan Sisa Elektronik Secara Lestari.

Program yang berlangsung di Dewan Seminar, Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC) itu bertujuan meningkatkan kesedaran warga kampus mengenai kepentingan pengurusan sisa elektronik atau e-waste secara betul, selamat dan bertanggungjawab.

Taklimat tersebut menampilkan Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pulau Pinang, Intan Arnieza Abdul Razak sebagai penceramah jemputan yang berkongsi pengetahuan berkaitan kaedah pengurusan serta pelupusan e-waste mengikut amalan kelestarian.

Turut hadir ialah Penyelaras SERC, Hariy Pauzi yang menyampaikan ucapan alu-aluan serta memberikan pengenalan berkaitan inisiatif pengurusan kelestarian dan usaha-usaha hijau yang dilaksanakan di KKTSS.

Melalui sesi perkongsian tersebut, peserta didedahkan kepada kaedah pengurusan e-waste yang bertanggungjawab termasuk kepentingan mengasingkan peralatan elektronik rosak, usang atau tidak lagi digunakan daripada aliran sisa biasa.

Hariy berkata, penganjuran program ini amat signifikan kerana ia bukan sekadar sesi perkongsian ilmu, malah merupakan satu usaha membina kefahaman serta tanggungjawab bersama dalam kalangan warga kampus terhadap pengurusan e-waste secara lebih sistematik.

“Program ini turut menekankan peranan individu dan organisasi dalam memastikan sisa elektronik dilupuskan melalui saluran yang betul bagi mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar serta kesan negatif terhadap kesihatan manusia,” katanya.

Beliau berkata, kehidupan seharian masa kini semakin bergantung kepada penggunaan pelbagai peralatan elektronik seperti telefon bimbit, komputer riba, pencetak, kabel, bateri, aksesori digital dan peranti teknologi lain.

 

                    

                    

                     

“Apabila peralatan ini rosak, usang atau tidak lagi digunakan, ia tidak boleh dilupuskan seperti sampah biasa kerana e-waste mengandungi komponen tertentu yang boleh memberi kesan kepada alam sekitar dan kesihatan manusia sekiranya tidak diuruskan dengan baik,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kesedaran mengenai pengurusan e-waste perlu diterjemahkan melalui amalan harian sama ada di pejabat, makmal, pusat pengajian mahupun kediaman masing-masing.

Menurut beliau, penganjuran program ini juga selari dengan semangat Hari Alam Sekitar Sedunia yang menekankan bahawa usaha memelihara alam sekitar bukan hanya tanggungjawab pihak tertentu, sebaliknya memerlukan penglibatan semua pihak.

Dalam pada itu, Hariy turut menyatakan bahawa agenda kelestarian merupakan antara keutamaan KKTSS selaras dengan usaha USM memperkukuh amalan kampus hijau, pengurusan sumber secara bertanggungjawab serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG).

“Program ini menyokong beberapa agenda SDG berkaitan termasuk SDG 12: Responsible Consumption and Production, SDG 11: Sustainable Cities and Communities, SDG 13: Climate Action serta SDG 17: Partnerships for the Goals,” katanya.

Beliau turut berkata, kerjasama strategik bersama Jabatan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang, Pusat Transformasi Digital (PTD), APEX, pihak pengurusan kampus, jawatankuasa pelaksana serta penglibatan aktif warga kampus dapat membantu membentuk ekosistem kampus yang lebih prihatin terhadap isu kelestarian dan pengurusan sisa.

Menurut beliau lagi, secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja berjaya meningkatkan kesedaran warga kampus mengenai kepentingan pengurusan e-waste, malah menjadi pemangkin kepada penerapan amalan pelupusan sisa elektronik yang lebih berkesan dan bertanggungjawab di KKTSS USM.

Teks dan Foto: Ihsan Ts. Syafiq Shaharuddin